X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan anggota polis di Johor dibuang kerja: Ayob Khan

Ayob Khan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai lapan anggota polis dibuang kerja sejak awal tahun hingga kini manakala 12 lagi anggota akan dikenakan tindakan sama pada minggu depan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh sama, seramai 59 orang warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor melibatkan empat pegawai kanan dan 55 anggota ditahan kerja manakala 11 anggota digantung tugas.

"Ini bukan satu kebanggaan bila saya katakan tindakan buang kerja membabitkan Kontinjen Johor adalah tertinggi dalam negara.

"Dijangkakan lebih ramai lagi akan dibuang kerja pada tahun ini melepasi jumlah mereka yang dikenakan tindakan sepanjang tahun lalu melibatkan seorang pegawai awam dan 45 anggota," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Katanya, bagi kes anggota dan pegawai polis yang terlibat dengan dadah, mereka tidak akan diberikan peluang kedua sebaliknya terus dibuang kerja.

"Mereka ini tidak perlu diberi peluang kedua pun, kalau mereka didapati positif dadah, kita akan buang menggunakan kaedah paling cepat dengan membuka kertas siasatan terhadap mereka.

"Ramai lagi nak jadi polis dan yang tak guna ini kita akan buang cepat. Jangan dibiarkan hingga menjadi barah," kata beliau.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberi amaran kepada ketua polis daerah di negeri ini supaya tidak melindungi pegawai yang terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah.

Tegas beliau, terdapat anggota dan pegawai polis di sebuah daerah yang didapati telah lama melakukan kegiatan pemerasan namun tindakan baharu sahaja dikenakan apabila mangsa pemerasan berkenaan tampil membuat laporan polis.

"Sekiranya ada laporan dibuat kepada ketua polis daerah atau kepada mana-mana ketua jabatan yang tidak diambil tindakan, maklumkan kepada saya. Saya sendiri akan ambil tindakan terhadap mereka.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap ketua polis daerah berkenaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!