X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga pelajar SMK Kubang Kerian cipta aplikasi kitar semula

Wan Azrina (kanan) bersama tiga pelajarnya menunjukkan aplikasi yang dicipta ketika ditemui pemberita di Kota Bharu pada Rabu.
A
A

KOTA BHARU - Bagi memudahkan orang ramai mengitar semula sampah yang tidak digunakan, satu aplikasi khas dicipta tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian di sini yang diberi nama 'Recybin Apps'.

Aplikasi dicipta khas melalui pertandingan anjuran 'Toyota Eco Youth 2020/2021 Reimagining Mobility' itu memberi satu inovasi baharu kepada industri tersebut dalam konsep menjaga kebersihan alam sekitar.

Bersaing dengan 16 sekolah menengah seluruh negara, ia bukan satu perkara yang mudah bagi tiga pelajar tersebut untuk melayakkan mereka melangkah ke peringkat 10 terbaik dalam pertandingan berkenaan nanti.

Guru pembimbing, Wan Azrina Muhamad Zuki berkata, tiga pelajarnya itu iaitu Fareisha Adriana Farez,14, Nur Iman Akmal Mazue Fazrol, 16, dan Faris Daniel Muhammad Effendy, 16, mengambil masa sebulan untuk mereka cipta aplikasi dan bakul sampah berkenaan.

Beliau berkata, dengan asas daripada pendidikan sains komputer yang dipelajari di sekolah termasuk gabungan idea melalui pendedahan lain membantu tiga pelajarnya itu melakukan projek tersebut sebaik mungkin.

“Kita menjadikan kawasan penduduk di Mukim Pulau, Kubang Kerian sebagai subjek utama bagi melaksanakan penggunaan kemudahan 'Recybin Apps' ini. Saya yakin selepas ini peratusan rakyat Malaysia untuk mengitar semula akan bertambah daripada dua peratus yang sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Aplikasi tersebut perlu dimuat naik di telefon bimbit pengguna dan akan berfungsi secara langsung melalui alat timbang yang disediakan bersama tong sampah tersebut.

Apabila tong sampah tersebut mulai penuh, alat berkenaan akan menghantar isyarat kepada pengguna.

Pengguna kemudian boleh mengisi borang melalui aplikasi disediakan untuk memudahkan pihak kitar semula datang ke rumah bagi mengambil barang buangan berkenaan.

Sementara itu, Nur Iman Akmal ketika ditemui berkata, sekiranya projek tersebut berjaya memenangi pertandingan berkenaan dan diterima untuk dikomersilkan, dia dan dua rakan akan mendaftarkan aplikasi berkenaan ke dalam Google Play Store.

Katanya, ia untuk meluaskan lagi penggunaannya kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Kubang Kerian, Khairani Sabtu berkata, adalah menjadi harapan dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan pelajar yang mempunyai daya fikir kritis, kreatif dan inovatif.

"Oleh sebab itulah kita sentiasa memastikan pelajar membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau juga berharap tiga pelajarnya itu dapat memenangi pertandingan tersebut, sekali gus memberi satu inovasi baharu kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dalam persekitaran lebih bersih.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!