Macau Scam ancaman besar rakyat

Sedar atau tidak, Macau Scam ini telah menjadi ancaman besar kepada rakyat dalam era digital.
Sedar atau tidak, Macau Scam ini telah menjadi ancaman besar kepada rakyat dalam era digital.
A
A
A

MACAU Scam atau penipuan dalam talian nampaknya semakin menjadi-jadi di negara kita. Setiap hari pasti ada sahaja individu yang menjadi mangsa. Dianggarkan, lebih 6,552 kes direkodkan sejak 2018 melibatkan kerugian sehingga RM405.7 juta.

Sedar atau tidak, Macau Scam ini telah menjadi ancaman besar kepada rakyat dalam era digital.

Modus operandinya memperdaya mangsa menggunakan pelbagai teknik seperti cabutan bertuah, masalah bayaran kad kredit dan menyamar sebagai pegawai kerajaan.

Terkini, ‘hantu’ di sebalik kerja kotor Macau Scam itu hadir pula dengan taktik baharu iaitu merampas akaun WhatsApp orang awam. Mana-mana akaun yang berjaya dirampas akan dimanipulasi bagi tujuan jenayah.

Objektif sindiket Macau Scam berkenaan hanyalah satu iaitu mengambil duit mangsa sebanyak yang mungkin.

Mangsa akan diberi tekanan kononnya berdepan tuduhan jenayah berat yang boleh menggugat kehidupan mereka.

Jelas sekali, apa yang dilakukan oleh hantu-hantu Macau Scam itu merupakan ancaman besar kepada rakyat. Walaupun tidak melibatkan kecederaan fizikal atau kematian setakat ini, namun ia menyebabkan kerugian yang besar kepada rakyat mahupun negara.

Setakat ini, kerugian terbesar ditanggung mangsa akibat Macau Scam berlaku di Kelantan pada tahun lalu. Mangsa yang juga seorang penjawat awam berusia 40-an kerugian RM586,000 selepas dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

Malah, ramai dalam kalangan mangsa yang mengaku trauma selepas diperdaya sindiket berkenaan. Salah seorang daripadanya ialah pelakon Sarah Hildebrand yang mengaku menjadi mangsa Macau Scam pada Jun tahun lalu selepas dihubungi lelaki menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Melihat kepada kes-kes yang dilaporkan, kes berkaitan Macau Scam ini merupakan perkara yang serius dan perlu ditangani secara tuntas. Ia merupakan ancaman baharu kepada rakyat dan negara yang perlu disekat habis-habisan.

Keberadaannya telah menyebabkan kerugian yang membimbangkan kepada rakyat kerana kes yang dilaporkan sebelum ini menunjukkan trend penipuan Macau Scam melibatkan jumlah wang yang banyak antara puluhan hingga ratusan ribu ringgit bagi seorang mangsa.

Wang tersebut tentu sahaja memberi manfaat kepada pemiliknya jika tidak terlepas ke tangan sindiket Macau Scam itu. Malah, ia juga berpotensi menambah pendapatan negara sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu mencari mekanisme berkesan bagi menangani ancaman baharu itu dengan mendapatkan output daripada pemain industri seperti syarikat telekomunikasi dan bank bagaimana cara untuk menyekat sindiket berkenaan.

Selain itu, kerajaan juga harus bekerjasama dengan bijak pandai dan pakar dalam bidang teknologi maklumat (IT) bagi mencari solusi untuk mengesan sekali gus melumpuhkan rangkaian Macau Scam yang beroperasi sama ada dari dalam ataupun luar negara.

Jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan berkesan, rakyat akan hilang kepercayaan kepada kerajaan yang memerintah kerana gagal melindungi rakyat daripada aktiviti jenayah yang terang-terangan mengancam dan menjejaskan kehidupan mereka.

Tidak mustahil, kredibiliti dan kedaulatan negara juga akan terjejas jika aktiviti jenayah Macau Scam ini masih berleluasa di negara kita dan bebas memangsakan rakyat tanpa sedikit pun rasa khuatir dikenakan tindakan.

*Hafezdzullah ialah wartawan Premium Sinar Harian