ASTAF hukum gantung Tok Mat

ABDUL HALIM, AHMAD ISMAIL
ABDUL HALIM, AHMAD ISMAIL
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berdepan hukuman penggantungan seumur hidup daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sepak takraw jika didapati bersalah menjatuhkan reputasi Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Ahmad atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Mat juga tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam persatuan sehingga kes perbicaraannya selesai.

Menurut Abdul Halim, Ahmad diberikan tempoh 14 hari untuk memberi maklum balas berkenaan hukuman yang dikenakan ke atasnya sebelum badan induk sepak takraw Asia itu membuat keputusan akhir.

“Beliau boleh menjawab surat tunjuk sebab itu mulai daripada tarikh surat ini (13 April 2021). Buat masa ini, beliau dikenakan hukuman penggantungan (sementara) selain tidak dibenarkan terlibat dalam persatuan.

“Sebaik pihak kami menerima maklum balas daripada beliau, satu sesi perbicaraan akan dibuat untuk menentukan tindakan yang akan diambil kepada beliau,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan ASTAF, Ahmad dikenakan empat pertuduhan, sekali gus menyaksikan beliau berdepan penggantungan (tempoh akan diputuskan kemudian), digugurkan keahlian, denda, penggantungan seumur hidup atau kombinasi beberapa hukuman jika didapati bersalah.

Dalam keempat-empat pertuduhan itu, Ahmad yang juga bekas Timbalan Presiden ASTAF didakwa melanggar beberapa peraturan yang digariskan badan induk sepak takraw Asia itu termasuk Artikel 5.5.

Ahmad menghadapi pertuduhan ketiga bagi Artikel 5.5 menerusi kenyataan bertulis bertarikh 24 Februari 2021 kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi tujuan mendapatkan campur tangan kedua-dua badan itu pada sesi pemilihan Kongres ASTAF pada 1 Mac 2021.

Artikel Berkaitan:

Sejurus tamat sesi pemilihan tersebut, Ahmad mendakwa terdapat penipuan ketika kongres itu berlangsung selepas beliau bersama-sama beberapa calon PSM yang lain tewas dalam perebutan jawatan masing-masing.

Malah, Ahmad yang tewas kepada Abdul Halim dalam persaingan kerusi nombor satu ASTAF itu tidak menolak kemungkinan untuk membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).