Penyertaan Binder langkah bijak

Binder muncul naib juara GP Doha di Litar Antarabangsa Losail awal bulan ini.
Binder muncul naib juara GP Doha di Litar Antarabangsa Losail awal bulan ini.
A
A
A

PELUMBA Afrika Selatan, Darryn Binder ternyata telah memberi impak segera sejak kemunculannya bersama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dalam saingan Moto3 musim ini.

Binder menaiki podium dalam dua perlumbaan pertama setelah berjaya menduduki tempat ketiga pada saingan pembuka tirai - Grand Prix (GP) Qatar sebelum meneruskan prestasi baiknya dengan muncul naib juara GP Doha awal bulan ini.

Prinsipal Petronas SRT, Datuk Razlan Razali berkata, penyertaan Binder yang baru mencecah usia 23 tahun ke dalam pasukannya musim ini terbukti sebagai langkah bijak.

“Kami sangat gembira dengan prestasi Binder. Namun, kami perlu berhati-hati dan menyertai perlumbaan pada satu-satu masa kerana masih awal untuk meramalkan apa yang akan terjadi di masa depan.

“Tetapi kami tahu apa yang dia (BInder) mampu lakukan kerana dia memiliki kekuatan dan motivasi untuk menjadi pelumba yang berjaya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Binder yang sebelum ini mewakili pasukan CIP Green Power menandatangani kontrak selama setahun dengan Petronas SRT pada Sepetember lepas bagi mengharungi saingan Moto3.

Mengulas mengenai prestasi kurang memberangsangkan Jake Dixon dan Xavi Vierge dalam Moto2, Razlan mengakui cuaca di Qatar telah memberi kesan kepada mereka.

"Berangin dan berdebu di Qatar dan saya percaya keadaan itu mempengaruhi perlumbaan mereka di Litar Antarabangsa Losail," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Razlan optimis dan berharap pasukannya akan melakukan dengan lebih baik pada GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao yang dijadualkan diadakan pada 16 hingga 18 April. - Bernama