Operator hotel boleh isytihar semula kehendak maksimum: TNB

Kenyataan akhbar oleh TNB pada Selasa.
Kenyataan akhbar oleh TNB pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Operator hotel yang terkesan dengan pandemik Covid-19 boleh mengisytiharkan semula Kehendak Maksimum (KM) bekalan elektrik berdasarkan penggunaan semasa bagi meminimum atau mengelakkan penalti Caj Sambungan Beban (CSB) bulanan mereka.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata, perkara itu akan dilakukan menerusi polisi baharu yang diluluskan kerajaan berkuatkuasa pada 15 Januari lalu.

“Selain operator hotel, polisi baru CSB ini terpakai kepada pengguna TNB yang mendapat bekalan melalui voltan sederhana dan voltan tinggi.

“Ia tertakluk kepada CSB bagi tempoh enam tahun untuk pengguna baharu dan lima tahun bagi pengguna sedia ada yang membuat permohonan tambahan beban.

“Kelulusan untuk pengisytiharan semula KM ini juga adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

TNB berkata, penalti CSB dikenakan bagi mengelakkan KM diisytihar berlebihan oleh pengguna semasa permohonan bekalan berbanding beban sebenar yang diperlukan.

Katanya, pengisytiharan KM berlebihan akan menyebabkan pembaziran kapasiti penjanaan serta peningkatan kos penjanaan dan penghantaran yang perlu ditanggung pengguna lain.

“Sebagai syarikat utiliti yang prihatin, TNB telah memberikan Pakej Bantuan melalui penangguhan CSB secara automatik selama enam bulan bagi penggunaan bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020 berikutan pandemik Covid-19

Artikel Berkaitan:

“Selepas tempoh itu, sektor perniagaan yang masih terkesan dengan wabak Covid-19 boleh memohon lanjutan penangguhan CSB bagi tempoh maksimum enam bulan,” kata kenyataan itu lagi.

Syarikat bekalan tenaga elektrik negara itu turut memaklumkan bahawa sebarang permohonan untuk mengisytiharkan semula KM atau melanjutkan tempoh CSB boleh dimajukan melalui beberapa saluran termasuk menerusi emel ke tnbcareline@tnb.com.my atau memajukan perkara tersebut ke kedai tenaga berdekatan.

“Permohonan tersebut juga boleh dilakukan melalui pos di alamat Lead (Commercial & Regulated Management), Aras 16, Wisma TNB, No 19, Jalan Timur, 46200 Petaling Jaya, Selangor,” jelasnya.

Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus dilanjutkan selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2021 bagi enam sektor perniagaan yang terkesan di seluruh negara.

Ia termasuk pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan, serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Di samping itu, pemberian rebat Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) selama enam bulan bagi tempoh penggunaan 1 Januari sehingga 30 Jun 2021 kepada semua pengguna TNB pada kadar dua sen setiap kilowatt perjam juga dianggarkan akan memberikan penjimatan bil eletrik bulanan sebanyak empat ke lima peratus kepada operator hotel.