X

Kindly register in order to view this article
!

KeTSA, KPPK kerjasama tangani krisis kepupusan Harimau Malaya

Shamsul Anuar bersama Khairuddin menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail (kanan) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Mohd Nor Hamzah.
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama menangani krisis kepupusan Harimau Malaya sekaligus meningkatkan imej industri sawit dalam aspek kemampanan.

MoU berkenaan dimeterai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

Menerusi MoU itu, MPOC dan MPOGCF iaitu agensi di bawah KPPK menyediakan dana sebanyak RM3 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini bagi konservasi Harimau Malaya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, MoU itu membuka era baharu dalam mengukuhkan kerjasama startegik dan konservarsi ex-situ Harimau Malaya antara dua kementerian melalui penyelidikan, bina upaya serta program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.

Shamsul Anuar ketika meninjau keadaan harimau di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai pada Isnin.
Shamsul Anuar ketika meninjau keadaan harimau di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai pada Isnin.

Menurutnya, enam program utama bakal dilaksanakan melalui MoU itu ialah program pembiakan Harimau Malaya, pemindahan Harimau Malaya ke Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan di Lanchang, Pahang; program meliarkan Harimau Malaya, pelepasan Harimau Malaya ke habitat asal dan pemantauan Harimau Malaya selepas proses pelepasan.

"Kerajaan ketika ini berhadapan cabaran besar dalam memastikan spesies Harimau Malaya dapat dikekalkan selain menyedarkan orang awam agar tidak melakukan pemburuan terhadap haiwan terbabit.

"Kalau kita lihat dalam MoU ini, fokus diberikan kepada enam program utama dan di pihak KeTSA akan pastikan dana disediakan itu benar-benar dibelanjakan bagi tujuan yang telah dipersetujui bersama," katanya pada sidang akhbar di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Shamsul Anuar bersama Khairuddin pada sidang akhbar di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai pada Isnin.
Shamsul Anuar bersama Khairuddin pada sidang akhbar di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai pada Isnin.

Shamsul Anuar berkata, inisiatif ditunjukkan MPOC dan MPOGCF itu menunjukkan komitmen padu dan keprihatinan industri sawit dalam menyelamatkan Harimau Malaya.

"Di kesempatan ini, saya mengajak semua kementerian lain mencontohi apa yang dilakukan KPPK agar usaha-usaha lebih baik dan berkesan dapat digerakkan untuk pastikan spesies ikonik negara ini benar-benar dapat dipelihara," katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, kerjasama strategik itu bukti bahawa kementerian sentiasa menjaga prinsip kemampanan dalam proses mengeluarkan minyak sawit negara termasuklah melibatkan penyahutanan dan pemuliharaan haiwan spesies terancam.

"Kita yakin bahawa apa yang kita laksanakan ini adalah satu daripada rantaian kerja yang panjang yang telah kita mulakan lama sebelum ini.

"Insya-ALLAH kita akan teruskan lagi usaha-usaha seumpama ini bukan sahaja dengan KeTSA tetapi kementerian lain atas penegasan prinsip sama," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!