Tiga kadar zakat fitrah di Kedah

Syeikh Fadzil (tengah) bersama Syeikh Zakaria (kanan) menunjukkan poster tiga kadar zakat fitrah, bermula dari RM7, RM14 dan RM21 di Menara Zakat pada Isnin.
Syeikh Fadzil (tengah) bersama Syeikh Zakaria (kanan) menunjukkan poster tiga kadar zakat fitrah, bermula dari RM7, RM14 dan RM21 di Menara Zakat pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengumumkan tiga kadar zakat fitrah bermula dari RM7, RM14 dan RM21 tahun ini berbanding empat kadar zakat tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK yang juga Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, penetapan itu selaras dengan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di negeri ini.

Menurutnya, kadar zakat fitrah bagi golongan yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super spesial tempatan dan setaraf dengannya ialah RM7 manakala RM14 bagi mereka yang makan beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

“Kadar RM21 pula untuk golongan yang mengambil beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya. Kadar ditetapkan ini menepati kehendak syarak,” katanya pada sidang akhbar di Menara Zakat di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Syeikh Fadzil berkata, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah tahun ini mencecah RM11.5 juta dengan anggaran peningkatan RM900,000 berbanding kutipan tahun lepas sebanyak RM10.6 juta.

Mengulas lanjut, Syeikh Zakaria berkata, peningkatan sasaran itu juga berdasarkan pengalaman tahun lalu iaitu peningkatan mendadak bayaran secara dalam talian sebanyak RM1.4 juta pada 2020 berbanding RM140,000 pada 2019.

“Saya percaya kutipan itu meningkat disebabkan kesan Covid-19 yang menyebabkan ramai tidak dapat keluar rumah dan memilih sistem pembayaran dalam talian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Syeikh Zakaria, kadar zakat fitrah RM5 yang diperkenalkan tahun lalu tidak diteruskan pada tahun ini berikutan tidak mendapat sambutan ramai.

“Ketika itu, kita memperkenalkan kadar RM5 bagi memberi ruang golongan kurang berkemampuan menunaikan kewajipan itu semasa penularan Covid-19. Disebabkan tiada sambutan, tahun ini kita hanya tetapkan tiga kadar sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya berharap pembayar zakat menunaikan kewajipan itu lebih awal dan tidak menunggu saat akhir bagi kelancaran agihan kepada asnaf.

“Bagi menjaga keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan Covid-19, orang ramai digalakkan memanfaatkan saluran bayaran zakat fitrah secara atas talian serta bayaran awal agar LZNK dapat merancang bantuan untuk golongan asnaf sepanjang Ramadan.

Berdasarkan trend dua tahun terakhir, minggu terakhir menjadi pilihan ramai sehingga kaunter zakat fitrah dibuka sehingga 3 pagi,” katanya.

Pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan di beberapa saluran seperti portal web Jom Zakat (https://jom.zakatkedah.com.my) atau aplikasi mudah alih Zakat On Touch (ZOT), QR Pay serta e-wallet seperti Touch ‘n Go, Boost.

Selain itu, orang ramai juga boleh membayat menerusi amil fitrah yang dilantik di setiap kariah.