10 ekor lembu 'licin' dalam tempoh empat jam

Antara pengunjung yang datang mendapatkan barangan ketika jualan Produk Basah Segar Coop Teganu secara pandu lalu sempena Ramadan di pekarangan parkir berhampiran jambatan angkat, Kuala Nerus.
Antara pengunjung yang datang mendapatkan barangan ketika jualan Produk Basah Segar Coop Teganu secara pandu lalu sempena Ramadan di pekarangan parkir berhampiran jambatan angkat, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Tidak masuk akal namun itulah yang berlaku terhadap jualan Produk Basah Segar Coop Teganu secara pandu lalu menjelang Ramadan apabila 10 ekor lembu habis dijual dalam tempoh empat jam di pekarangan kawasan parkir kenderaan berhampiran jambatan angkat di sini pada Sabtu.

Selain daging lembu, terdapat 2,000 ekor ayam dan 500 kilogram (kg) ikan yang turut habis dijual bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Mohd Solehin Ramli berkata, kaedah jualan secara pandu lalu itu julung kali diadakan bagi memberi peluang orang ramai mendapatkan barangan basah segar keluaran koperasi secara selamat, mesra pelanggan dan patuh prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, harga yang ditawarkan pada jualan itu 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran dan setiap pembelian dihadkan tidak melebihi 5 kilogram seorang.

"Saya difahamkan harga barangan di pasaran meningkat menjelang Ramadan malah terdapat juga seekor ayam seberat 2 kilogram (kg) atau lebih dijual pada harga RM20 seekor.

"Bagaimanapun, pada jualan Produk Basah Segar Coop Teganu secara pandu lalu ini kita hanya jual RM15 bagi seekor ayam (2kg) manakala harga promosi bagi RM22 bagi sekilogram tulang dan RM28 untuk sekilogram daging.

"Ikan tongkol seekor seberat lebih sekilogram pula dijual pada harga RM10, ikan siakap RM10 dan ikan selayang pula RM10 bagi setiap satu pek," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi jualan pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh dan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd NorKhuzaini Abd Rahman.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Solehin berkata, Program Jualan Segar Coop dijangka diteruskan jika sambutan diterima menggalakkan.

"Program hari ini sebagai perintis, kita akan melakukan kajian berdasarkan jualan ini. Jika ia berhasil kemungkinan kita akan mengadakan satu lagi jualan sebelum Aidilfitri.

"Berdasarkan sambutan jualan ini ia dilihat amat memberangsangkan kerana seawal jam 8 pagi sudah terdapat 30 kenderaan yang menunggu untuk membuat pembelian dan jumlah kenderaan bertambah sejak kaunter jualan dibuka," katanya.

Jualan Segar Coop Teganu yang berlangsung selama empat jam itu merekodkan jualan sebanyak RM33,919 membabitkan 380 pembeli.