PN Selangor runding lantik 18 penyelaras Parlimen

Abdul Rashid (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik pada Majlis Perasmian PKK Bersatu Bahagian Kuala Selangor dan Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan D'Manis di Pekarangan PKK Bersatu Bahagian Kuala Selangor.
Abdul Rashid (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik pada Majlis Perasmian PKK Bersatu Bahagian Kuala Selangor dan Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan D'Manis di Pekarangan PKK Bersatu Bahagian Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perikanan Nasional (PN) Selangor mengadakan rundingan bersama parti komponen untuk melantik 18 penyelaras Parlimen di kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan satu kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, rundingan membabitkan Bersatu, Pas dan Gerakan itu dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Menurutnya, tiga rakan komponen PN itu akan berbincang untuk melantik penyelaras Parlimen yang bertanggungjawab mewakili kerajaan PN yang berfungsi sama seperti ahli Parlimen.

"Malam esok saya akan mewakili Bersatu dan kita akan adakan mesyuarat (bersama Pas dan Gerakan) untuk menentukan pelantikan penyelaras Parlimen.

"Maka tidak lama lagi penyelaras Parlimen akan dilantik di kawasan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Komuniti (PKK) Bersatu Bahagian Kuala Selangor dan Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan D'Manis di Pekarangan PKK Bersatu Bahagian Kuala Selangor pada Sabtu.

Abdul Rashid berkata, pelantikan penyelaras Parlimen PN di dalam negeri pembangkang juga diharap dapat menggerakkan dan menyatupadukan keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap Parlimen bagi menghadapi PRU-15.

"Kita tidak boleh biarkan Selangor di bawah PH kerana apa-apa polisi kerajaan negeri menjadi tentangan kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Ditanya tentang pembahagian penyelaras Parlimen membabitkan tiga komponen PN di negeri itu, Abdul Rashid berkata, perkara itu masih dalam peringkat rundingan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kita masih dalam peringkat perbincangan dan belum lagi membuat keputusan peringkat akhir," katanya.