'Jangan serah pengurusan dewan orang ramai kepada pihak ketiga'

Penguat kuasa DBKL yang mengambil alih dewan orang ramai di Kuala Lumpur pada tahun 2019. - Foto FB Hannah Yeoh
Penguat kuasa DBKL yang mengambil alih dewan orang ramai di Kuala Lumpur pada tahun 2019. - Foto FB Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tidak menyerahkan pengurusan dewan orang ramai kepada pihak ketiga atau swasta.

Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Ahli Parlimen Cheras,Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Menurut kenyataan itu, dewan orang ramai dibina menggunakan dana awam dan ia seharusnya dibuka untuk penggunaan komuniti setempat.

"Ia seharusnya diuruskan dengan telus oleh DBKL demi manfaat orang ramai dan bukan diurus oleh pihak swasta yang bertujuan mengaut keuntungan," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, sewaktu tempoh pentadbiran PH, proses pemutihan dewan orang ramai daripada kawalan parti politik Barisan Nasional (BN) telah dilakukan ketika itu dengan mengambil alih kebanyakan kemudahan berkenaan bagi menggelakkan penswastaan dilakukan.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan dewan orang ramai sebelum ini telah dijadikan sebagai hartanah persendirian dengan melakukan aktiviti perniagaan yang menguntungkan pihak terlibat.

"Kami Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan menyeru DBKL untuk meneruskan dasar ini.

"Kami juga menyeru DBKL membenarkan semua pihak termasuk parti politik pembangkang untuk menggunakan fasiliti dewan orang ramai tersebut," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: