Lelaki disyaki terlibat dalam 25 kes pecah rumah ditahan

Shafa'aton (kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di IPD Sungai Buloh pada Jumaat.
Shafa'aton (kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di IPD Sungai Buloh pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang lelaki yang dikenali sebagai 'lone ranger Syamil' ditahan kerana disyaki terlibat dalam 25 kes pecah rumah dan kedai di sebuah rumah di Saujana Utama di sini pada 31 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, suspek berusia awal 20-an itu aktif melakukan jenayah di Saujana Utama dan Rawang sejak 2019.

Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah menyerbu tiga lokasi termasuk rumah suspek secara berasingan.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dua telefon bimbit, pelbagai barang kemas, komputer riba dan sebuah alat permainan elektronik.

"Modus operandi suspek adalah dia menjalankan aktiviti secara solo dan hasil barangan curi akan disimpan untuk kegunaan sendiri manakala barangan berharga seperti barang kemas akan dijual atau digadai," katanya pada sidang akhbar di IPD Sungai Buloh di sini pada Jumaat.

Shafa'aton berkata, suspek juga akan membakar 'kawasan' dia melakukan jenayah di dalam kedai untuk menghapuskan bukti.

"Jumlah anggaran kerugian keseluruhan adalah RM175,560," katanya.

Beliau berkata, suspek pernah didakwa atas kesalahan kecurian.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudian akan diikat jamin dan mengulangi perbuatan yang sama," katanya.

Shafa'aton menasihati orang ramai untuk lebih waspada dan menghubungi polis sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai suspek.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.