MKT UMNO boleh putuskan untuk adakan pemilihan Jun ini atau tangguh

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti pada Jun ini atau menangguhkannya sehingga tempoh 18 bulan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua keputusan bergantung kepada MKT.

Menurutnya, berdasarkan perlembagaan parti, pemilihan UMNO perlu diadakan setiap tiga tahun selepas tempoh matang kepimpinan parti tamat.

"Jadi tempohnya tamat Jun tahun ini dan dari segi pemilihan, ia boleh diadakan tetapi perlembagaan (parti) memberi pengecualian sedikit iaitu pemilihan boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian usahasama antara Pharmaniaga Berhad dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam pembangunan projek madu kelulut secara saintifik dan komersial di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada Jumaat.

Justeru itu, beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) memberitahu, MKT berkuasa untuk menangguhkan pemilihan berkenaan.

"Terpulang pada MKT untuk putuskan sama ada teruskan pemilihan parti pada Jun ini atau tangguh. Jadi tunggulah keputusan MKT," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO termasuk bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa pemilihan parti itu diadakan segera sebaik tempoh matang kepimpinan parti tamat.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Rembau itu menggesa MKT supaya mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan, semua menteri dan timbalan menteri UMNO akan kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

"Perhimpunan Agung UMNO (PAU) telah meluluskan tanpa pindaan bahawa kita akan kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan. Itu sangat jelas.

"PAU adalah autoriti tertinggi dalam parti. Jadi bila keputusan dibuat, itu adalah dasar," katanya.