Nilai Liga-M boleh jatuh jika had gaji siling pemain diperkenal

MFL tidak berhasrat menguatkuasakan penetapan had siling pemain Liga-M. -Foto Selangor FC
MFL tidak berhasrat menguatkuasakan penetapan had siling pemain Liga-M. -Foto Selangor FC
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menganggap nilai komersial Liga Malaysia (Liga-M) akan merosot sekiranya had gaji siling pemain diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya tidak berhasrat menetapkan had gaji siling pemain Liga-M hanya semata-mata mahu mengelakkan timbul isu tunggakan gaji.

“Sebenarnya tidak sesuai untuk letakkan gaji siling kerana liga ini adalah perniagaan terbuka. Kita dalam usaha untuk mempertingkatkan nilai komersial dalam liga, jadi kita mestilah dipandang oleh pihak luar sebagai liga yang boleh bersaing.

“Kalau kita buat gaji siling, saya rasa pemain yang bagus akan pergi liga lain. Jadi nilai liga kita akan jatuh dan pandangan orang luar atau syarikat luar juga tidak baik untuk Liga-M,” katanya dalam Majlis Sesi Mesra Media di Kelana Jaya pada Khamis.

Pada Rabu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL membuat penetapan gaji pemain bola sepak yang disifatkan terlalu tinggi ketika ini.

“Saya tak mahu kata siapa yang tetapkan benchmark itu tetapi ia ‘membunuh’ industri bola sepak negara. Kita bukan tak mahu pemain dapat gaji bagus sebab mereka pun bukan boleh main tempoh lama, mungkin sehingga 36 tahun sebelum beralih kerjaya.

“Kalau di Malaysia, gaji pemain RM70,000 sebulan, ia terlalu mahal untuk ditanggung persatuan sukan atau syarikat yang diswastakan oleh persatuan bola sepak negeri. Harap perkara ini jadi pengajaran kepada semua yang terbabit dalam industri ini.

“Perlu pertimbangkan semula sebab industri tempatan belum sampai ke tahap itu lagi, walaupun kita mahu ada kemajuan namun langkahnya jangan terlalu laju,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kedah.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, dua negara Asia - Jepun dan China telah memperkenalkan gaji siling kepada pemain bola sepak di negara itu.

Mengulas lanjut, Ab Ghani menasihatkan setiap kelab supaya berbelanja mengikut kemampuan bagi mengelakkan masalah tunggakan gaji pemain mahupun pegawai masing-masing.

“Apa yang penting sekarang adalah di peringkat kelab itu sendiri. Mereka kena tahu kemampuan mereka sebab ada pasukan yang tahu kemampuan mereka iaitu RM4juta, jadi mereka berbelanja RM4juta sahaja.

“Ia sekali gus dapat mengelakkan masalah gaji dan dapat memastikan keseluruhan kewangan pasukan itu boleh ditampung dengan dana yang mereka ada.

“Tetapi, hari ini apa yang berlaku mungkin ada janji daripada penaja secara lisan, tetapi akhirnya tidak dapat dana penajaan itu sekali gus menyebabkan berlaku masalah gaji ini,” jelasnya.