X

Kindly register in order to view this article
!

'Sayang' Presiden UMNO, saya kena buat laporan polis'- Shahidan

Gambar dari kiri: Shahidan, Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal membuat laporan polis susulan namanya dikaitkan dalam rakaman audio perbualan telefon individu mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular sejak Selasa.

Jelas beliau, melalui laporan polis yang akan dibuat dalam masa terdekat, pihaknya berharap polis dapat mengenal pasti dan mengesahkan kesahihan rakaman audio tular berkenaan.

Menurutnya, tindakan melapor polis juga membolehkan beliau 'membantu' Ahmad Zahid untuk membersihkan nama pemimpin itu yang kini dituduh cuba menjalinkan kerjasama 'sulit' dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Bagi saya, saya suka ambil jalan perundangan, maka kita akan buat laporan polis. Laporan itu dibuat kerana nama saya disebut dalam rakaman audio (perbualan telefon) itu.

"Lebih-lebih lagi saya rasa terhina kerana di'boo' sepanjang masa dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) tempoh hari...Seolah-olah saya memang diatur untuk di'boo'. Langkah itu juga seolah-olah menunjukkan terdapat pakatan (memalukan) saya.

"Presiden (UMNO) hendak nafikan, itu hak dia...Sebab Presiden (UMNO) kata dia akan buat laporan polis, jadi kami ini (pun) sayang Presiden, maka kami juga akan buat laporan polis," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar sendiri menyangkal dakwaan penglibatan mereka di dalam rakaman suara tersebut.

Namun, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyakini rakaman audio tular berkenaan adalah tulen.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menggesa Ahmad Zahid dan Anwar mencontohi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melafazkan sumpah laknat berhubung dakwaan mengeluarkan arahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sebelum ini, veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Zahid perlu bertanggungjawab dan tidak layak untuk terus memegang jawatan tersebut sekiranya pendedahan audio antara dirinya dan Anwar didapati tulen.

Dalam pada itu, Shahidan menjelaskan laporan polis yang akan dibuatnya juga bakal merungkai perkembangan terkini dakwaan surat sokongan Presiden UMNO kepada Anwar yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya menyakini pihak Ahmad Zahid telah membuat laporan polis terhadap isu itu sebagaimana dijanjikan dan berharap teka-teki kesahihan surat berkenaan dapat diperjelaskan polis.

"Sebab kami tengok orang tuduh Presiden (UMNO) membuat surat kepada (Yang di-Pertuan) Agong...Itu pun kami kena tolong Presiden dapatkan perkembangan terkini laporan polis yang sudah dibuat.

"Kini nama Presiden tidak 'clear'...Di belakang Presiden dituduh (beliau) kerjasama dengan PKR dan DAP.

"Kita tengok beberapa kenyataan dibuat (kumpulan pro Presiden UMNO) seolah-olah menjurus pembentukan satu pakatan baharu. Jadi, (pengesahan ketulenan audio dan surat sokongan Presiden UMNO kepada Anwar) akan menentukan sama ada Presiden UMNO benar-benar melanggar keputusan parti," katanya.

Shahidan turut menegaskan hasil siasatan daripada laporan polis dibuat bakal membolehkan Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ahmad Zahid, sekiranya beliau didapati bersalah.

"Saya menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya siasat perkara ini dengan terperinci, ini adalah maruah dan nama baik UMNO. MKT kena buat pendirian dan keputusan paling wajar untuk kepentingan parti," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!