346,270 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19

Dr Adham Baba -Foto Bernama
Dr Adham Baba -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 346,270 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Rabu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 546,762 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 893,032.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya pada Khamis, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 74,659 diikuti Sarawak (56,587), Perak (52,032), Sabah (50,918) dan Kuala Lumpur (49,114).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 44,776 individu, seterusnya Sabah (36,956), Perak (34,235), Kuala Lumpur (30,421) dan Sarawak (29,332).

Dalam pada itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah seramai 8,235,692 atau 33.9 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,224,996 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: