Bola sepak mini alternatif atasi kekurangan padang bola

Tengku Ahmad Shah (duduk, tiga dari kanan), Nyim Keong (duduk, tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa eksekutif MiFoM pada Rabu.
Tengku Ahmad Shah (duduk, tiga dari kanan), Nyim Keong (duduk, tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa eksekutif MiFoM pada Rabu.
A
A
A

PEMINAT bola sepak mini atau amatur yang suka bermain bola sepak dalam padang yang kecil, kini mempunyai persatuan pada peringkat kebangsaan bagi membawa suara dan pembuat peraturan menerusi penubuhan persatuan Mini Football Malaysia (MiFoM) pada Rabu.

Presidennya, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas mesyuarat agung (AGM) mereka yang pertama berkata, persatuan itu menyasarkan untuk mempromosikan bola sepak mini, yang kini semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, bola sepak mini yang dimainkan enam sebelah didefinisikan sebagai bola sepak dalam kumpulan kecil yang dimainkan pemain amatur itu, mempunyai potensi besar dalam kalangan orang ramai pada semua peringkat umur dan kedudukan status sosial terutamanya pada pelajar sekolah.

“Sukan ini diharap menjadi langkah proaktif menyelesaikan kekurangan padang bola akibat pembangunan rancak di negara kita. Fasiliti satu padang bola, dua tempat pertandingan ini memberikan banyak penjimatan ruang, selain tidak memerlukan peralatan yang khusus seperti futsal.

“Saiz padang yang kecil dan mudah dibentuk, mampu menarik banyak penyertaan pemain, termasuk golongan wanita. Situasi enam pemain juga memberikan ruang dan peluang kepada pembangunan pemain dari segi kemahiran individu,” katanya ketika AGM di Kelab Golf Negara Subang (KGNS) di sini pada Rabu.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya Datuk Yap Nyim Keong berkata, remaja wanita digalakkan untuk mengambil bahagian dalam permainan ini, kerana agak sukar untuk mencari pemain bola sepak wanita di negara ini, selain kekurangan dari segi kualiti permainan.

“Kita perlukan sekurang-kurangnya 36 pemain untuk bermain perlawanan bolah sepak 11 sebelah. Namun dengan bola sepak mini, kita boleh tubuhkan empat pasukan dengan 36 pemain, menjadikan ia mudah untuk remaja wanita bermain dalam kumpulan yang kecil,” katanya.

Berkaitan undang-undang, bekas penolong setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, permainan itu hampir kepada futsal, tetapi boleh dimainkan pada padang asli atau tiruan dengan keluasan 46-50 meter dan lebar 26-30 meter.

Artikel Berkaitan:

Dimainkan 25 minit bagi setiap separuh masa dan rehat 10 minit; pengadil akan menambahkan masa yang hilang, kerana tiada pemberhentian masa permainan.

Jawatankuasa Eksekutif MiFoM

Presiden: Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Timbalan Presiden: Datuk Soh Chin Aun

Naib Presiden 1: Suhaimi Sun Abdullah

Naib Presiden 2: Brigadier Jeneral (B) Datuk Norhuda Ahmad

Naib Presiden 3: Datuk Lawry Aster

Naib Presiden 4: Zainal Ahmad

Setiausaha Agung: Datuk Yap Nyim Keong

Bendahari: Datuk V. Ampega

Ahli Jawatankuasa:

1. Tony Mariadass

2. Amir Shairifuddin Wong

3. C. Nadarajan

4. Richard Wee

5. S. Supramaniam