X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada isu jika perbualan bincang kerjasama, kata PKR

A
A

SHAH ALAM - “Kena tanya kepada batang tubuh yang (didakwa) bercakap, kalau tidak betul... nafikan. Kalau individu berkenaan kata ya, apa masalahnya? Kalau setakat hendak kata kerjasama (politik), tiada isu.”

Demikian pandangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid apabila diminta mengulas satu rakaman video dan audio mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar di media sosial sejak malam Selasa.

Sejujurnya, Ahli Parlimen Kapar itu mengakui belum mendengar audio rakaman tular yang dikaitkan dengan kedua-dua pemimpin UMNO dan PKR berkenaan dan tidak pasti sama ada bahan itu sahih atau tidak.

Bagaimanapun, beliau berpendapat sebarang bentuk perbualan atau komunikasi antara dua individu berlainan parti yang sekadar memberikan pandangan atau solusi politik tidak boleh disamakan seperti perbuatan melanggar undang-undang.

“Saya tidak dengar rakaman dan komunikasi kedua-dua pihak dikaitkan dalam audio tular itu. Adakah satu bentuk fitnah? Saya tidak tahu. Lagipun (rakaman perbualan) telefon, sekarang macam-macam orang boleh buat.

“Adakah kata-kata (perbualan telefon) itu menjurus kepada persoalan melanggar undang-undang? Kalau setakat hendak memberi pandangan atau solusi (politik), bagi saya tiada masalah.

“Lainlah perbincangan pasal hendak bawa bala tentera serang Malaysia, itu memang langgar undang-undanglah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan isu penularan audio perbualan telefon Ahmad Zahid-Anwar mungkin diusahakan pihak tertentu yang terkait dengan dinamik konflik dalaman UMNO.

Jelas Fahmi, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan ini adalah satu bentuk serangan dalaman sebelum berlangsungnya sesuatu mesyuarat penting oleh UMNO, berbanding isu membabitkan PKR.




Fahmi
Fahmi

“Bagi kami, audio itu tidak boleh disahkan lagi. Ia cuma dimainkan oleh satu pihak, tidak ada (bukti) forensik.

“Kalau lihat dari segi mengapa (audio tular) dikeluarkan sekarang? Mengapa bukan sejurus selepas PAU (Perhimpunan Agung UMNO)?

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid nafi perbualannya bersama Anwar

“Apa sepatutnya berlaku hari ini? Timing (Masa) audio dikeluarkan sangat berkait dengan isu dalaman UMNO.

“Mungkin keadaan berlaku disebabkan kerajaan (Perikatan Nasional) terumbang-ambing, jadi sebarang perkara perlu direkayasa untuk memudahkan dari segi dinamik politik dalam UMNO,”katanya.

Fahmi turut berpandangan ‘musuh-musuh’ yang paling senang dikaitkan dengan isu dalaman UMNO adalah PKR dan DAP.

“Mungkin PKR adalah elemen paling mudah digunakan dalam percaturan politik dalaman UMNO terutama dalam kalangan pihak yang menyokong (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) atau kumpulan yang mahu keluar (kerajaan) sekarang,” katanya.

Mengenai langkah lanjut PKR untuk menangani isu audio rakaman suara mirip Zahid-Anwar yang tular, Fahmi menjelaskan beliau belum lagi mengadakan pertemuan dengan Anwar dan masih terlalu awal untuk parti membuat keputusan.

“Kalau ada pendirian dan tindakan terkini (PKR), parti akan umumkan kemudian,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!