X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

VSN2030: Peluang rakyat terlibat gubal dasar pembangunan sukan negara

Reezal Merican
A
A

PENGGIAT dan pengamal sukan kini berpeluang untuk terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar pembangunan sukan negara bagi tempoh sedekad ini, menerusi kanvas Visi Sukan Negara (VSN) 2030.

Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang budaya, geografi dan ekonomi, mampu memberikan pendapat mereka untuk 10 tahun ini, melalui beberapa sesi libat urus secara bersemuka dan maya, perbincangan kumpulan fokus dan menerusi laman web kanvas VSN 2030.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya mahu mendengar apa yang rakyat mahu dan inginkan sama ada pingat emas Olimpik, skuad Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia, atau atlet Malaysia mendominasi carta dan ranking antarabangsa.

“Semua persoalan, harapan dan aspirasi seperti rakyat mahu infrastruktur sukan berkualiti baik di bandar mahupun desa, proses pencarian bakat yang adil tanpa meninggalkan sesiapa, kemudahan sukan untuk warga kurang upaya serta industri sukan sebagai sumber kekayaan baru akan menjadi citra utama kepada VSN 2030.

“Ia sekali gus membawa makna VSN 2030 ialah garapan dan harapan anda semua, rakyat Malaysia. Kanvas ini sebenar-benarnya milik anda. Milik kita semua, ayuh tampil ke hadapan, coret dan lakarkan kanvas ini, dengan suara dan harapan anda,” katanya ketika pelancaran kanvas VSN 2030 secara maya hari ini.

Dengan harapan untuk menjadikan tempoh 10 tahun akan datang sebagai dekad emas bagi sukan Malaysia, Reezal Merican berkata VSN 2030, yang dijangka dilancarkan pada September ini, bakal menjadi permulaan ‘pendemokrasian sukan’ dengan keterbukaan untuk menerima pandangan dan suara semua pihak.

“Kita mengimpikan sebuah dokumen dasar yang sentiasa diteliti dan dihayati oleh rakyat. Sebuah dokumen ‘hidup’ di mata dan hati rakyat. Sebuah dokumen yang dijiwai oleh setiap lapisan rakyat Malaysia. A walking document and policy,” jelasnya.

Antara komponen utama digariskan dalam hala tuju VSN 2030 ialah pemerkasaan pembudayaan sukan dalam masyarakat, kecemerlangan sukan, pengenalpastian dan pembangunan bakat, menjadikan Malaysia sebagai hab sukan antarabangsa, pemerkasaan industri sukan serta inklusiviti dan profesionalisme dalam pentadbiran sukan.

Sebagai contoh, menerusi kecemerlangan sukan, diharap nama-nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Shalin Zulkifli, Pandelela Rinong, Mohd Azizulhasni Awang dan Farah Ann Abdul Hadi teruskan dilahirkan.

Selain untuk mendapatkan maklumat, segala pandangan, kritikan dan harapan mengenai VSN 2030, boleh dilontarkan menerusi laman sesawang www.vsn2030.my.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!