Tajuddin kena kuatkan UMNO, bukan bayang kerjasama DAP

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman seharusnya mencari idea baharu untuk memperkuatkan parti dan bukan memberi pandangan bertentangan dengan dasar baharu parti diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu 'No Anwar, No DAP, No Bersatu'.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, kenyataan Tajuddin yang membayangkan kemungkinan UMNO boleh bekerjasama dengan DAP sekiranya parti itu lebih bersederhana pastinya menimbulkan banyak persoalan kepada ahli parti.

Jelas beliau, bayangan kemungkinan kerjasama dengan DAP seolah-olah menunjukkan Tajuddin cuba mempersoalkan pendirian UMNO yang sudah diputuskan pada PAU baru-baru ini.

"Apa sebab (Tajuddin) hendak soal balik? Apa rasional dia soal semula perkara diputuskan dalam PAU (No Anwar, No DAP, No Bersatu)?

"Kalau tidak hendak, tidak hendaklah (kerjasama DAP), carilah idea baharu. Mengapa di pusing-pusing idea itu? Sudah kurang idea?" katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tajuddin dalam sebuah portal berita baru-baru ini.

Melalui laporan portal berita berkenaan, Tajuddin menegaskan tidak mustahil UMNO menjalin kerjasama dengan DAP pada masa depan sekiranya parti itu membawa politik kesederhanaan yang boleh membantu memperkukuhkan kestabilan negara.

Bagaimanapun, beliau membayangkan kerjasama sedemikian sukar dijalin pada masa ini kerana imej perkauman parti itu, yang sebilangan besarnya kaum Cina.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Mat Nadzari menggesa Tajuddin tidak menimbulkan kekeliruan kepada ahli berhubung soal hubungan UMNO dengan parti-parti pembangkang seperti DAP.

Mat Nadzari
Mat Nadzari

Jelas beliau, Tajuddin kena memahami sejarah DAP itu sendiri dan bagaimana parti itu menjadi sentimen kepada orang Melayu sejak zaman dahulu lagi.

Dalam pada itu jelas Mat Nadzari, Tajuddin diminta tidak menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya baharu kepada ahli selepas keputusan jelas mengenai isu berkenaan baru-baru ini.

"Itu kita kena faham sejarah dia, sekarang mungkin ada yang dikatakan oleh Tajuddin menghala kepada kesederhanaan tetapi untuk menunjukkan keikhlasan dan kesetiaannya, DAP kena ubah perlembagaan parti mereka.

"Baca perlembagaan, ubah perlembagaan DAP untuk menunjukkan mereka boleh menerima perlembagaan UMNO dengan baik," tegasnya.

Sebelum ini, Anggota Jawatankuasa Pusat DAP, Teresa Kok meminta UMNO mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum meminta DAP untuk bersifat lebih sederhana.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui parti itu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan UMNO sekiranya ia melibatkan kepentingan rakyat.