Agong bangga kejayaan pemain muda badminton negara

Al-Sultan Abdullah dipersembahkan raket digunakan Zii Jia yang menjuarai saingan Seluruh England bulan lalu ketika majlis di Istana Negara pada Selasa. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dipersembahkan raket digunakan Zii Jia yang menjuarai saingan Seluruh England bulan lalu ketika majlis di Istana Negara pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pemain badminton muda negara menjuarai beberapa kejohanan antarabangsa.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohammad Norza Zakaria berkata, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menasihatkan pemain muda negara meneruskan prestasi cemerlang di peringkat tertinggi pada masa akan datang.

“Tuanku menasihati mereka untuk terus kekal gigih bekerja dengan kuat bagi meneruskan kecemerlangan badminton negara, selain kekal fokus terutama untuk menghadapi kejohanan penting akan datang,” katanya kepada pemberita di Istana Negara pada Selasa.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Majlis Jamuan Teh bersama pasukan badminton negara ke Kejuaraan All England 2021 di Istana Negara.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menerima persembahan raket digunakan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, 23, sewaktu memenangi perlawanan akhir Seluruh England 2021 bulan lalu.

Sebelum ini, barisan pemain muda negara turut memenangi tiga kejuaraan, dalam acara perseorangan lelaki, beregu campuran dan beregu lelaki pada Terbuka Poland 2021 yang berlangsung di Gniezno, pada hujung bulan lepas.

Tiga kejuaraan itu dimenangi Ng Tze Yong, 20, (perseorangan lelaki), pasangan berusia 20 tahun Choong Hon Jian-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang masing-masing berumur 21 dan 20 tahun bagi acara beregu lelaki.

Sementara itu, Zii Jia yang akan membawa cabaran negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini, tidak dapat menyembunyikan keterujaan beliau dapat bersemuka dan menerima nasihat daripada Seri Paduka Baginda berdua.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Al-Sultan Abdullah secara peribadi turut memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada beliau dalam mengecapi pelbagai kejayaan di masa depan.

“Saya terkejut Tuanku beritahu baginda saksikan perlawanan final dan turut rasa gementar, baru saya tahu baginda meminati badminton. Semoga di masa depan saya dapat hasilkan lebih banyak keputusan positif.

“Baginda juga minta saya kekalkan semangat juang yang tinggi seperti sekarang dan terus tingkatkan prestasi selain perlu banyak rehat,” katanya.

Majlis Jamuan Teh itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan beberapa pemain negara antaranya beregu wanita negara yang menjuarai Terbuka Switzerland, Pearly Tan, 21, dan M Thinaah, 23.

Pasangan Pearly-Thinaah turut beraksi di kejuaraan Seluruh England, namun terkandas di peringkat suku akhir.