Hannah bangga kejayaan kontinjen Olimpik Khas negara

Hannah Yeoh - Foto: Bernama
Hannah Yeoh - Foto: Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan kontijen negara pada Sukan Olimpik Khas di Berlin, Jerman yang berakhir Ahad lepas.

Hannah berkata, pihaknya menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memberi sokongan kepada golongan kurang upaya (OKU) untuk terus mencungkil bakat dalam mencipta nama di temasya terbabit.

Skuad negara merangkul empat pingat emas, lima perak dan sembilan gangsa secara keseluruhan dan ini merupakan pencapaian terbaik sepanjang penyertaan Malaysia pada temasya sukan berprestij itu.

"Malaysia semestinya bangga dengan kontijen kita di temasya ini. Tahniah dan syabas kepada jurulatih serta ibu bapa yang memberikan sokongan kepada mereka dan juga kumpulan pengiring yang bersama mereka,” katanya kepada pemberita pada malam Selasa.

Sebelum itu, beliau meraikan kepulangan wira dan wirawati negara yang dibarisi golongan istimewa itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam Selasa.

Empat pingat emas diraih oleh Khairul Zaim-Lee Khai Li (boling beregu campuran), Nurasliza Mohd Sapri (lontar peluru), Beverly Chin Lai Yen (boling perseorangan wanita) dan Nurul Syafinaz Aisyira-Tengku Nor Muzafirah (bocce unified sport beregu). - Bernama