Kelantan FC mungkin berharap kepada pemain muda - Bernhardt

Pemain Kelantan, Mohd Arip Amiruddin (tengah) berusaha mengasak bintang Sri Pahang FC, Muhamad Baqiuddin Shamsudin (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Pemain Kelantan, Mohd Arip Amiruddin (tengah) berusaha mengasak bintang Sri Pahang FC, Muhamad Baqiuddin Shamsudin (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KELANTAN FC berkemungkinan besar menyandarkan harapan kepada barisan pemain muda dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ia susulan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan ke atas Kelantan FC atas kegagalan kelab itu melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh ditetapkan.

“Saya tidak tahu mengenai isu (Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan pemain). Cuma saya dengar ejen sedang mencari pemain import dalam usaha membentuk semula pasukan ini.

“Jika tidak dibenar mendapatkan pemain baharu, mereka terpaksa mengakhiri baki saingan dengan pemain skuad Bawah 23 tahun, itu sahaja pilihan yang ada,” kata pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt pada Jumaat.

Sebelum itu, Bernhardt mengakhiri tugasannya bersama Kelantan dengan langkah kiri apabila The Red Warriors (TRW) tewas 0-5 kepada Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Dalam pada itu, Bernhardt berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberi sokongan sepanjang beliau mengendalikan Kelantan FC.

“Terima kasih kepada setiap pemain dan penyokong Kelantan FC yang menakjubkan sejak saya mula mengendalikan pasukan ini.

“Saya benar-benar minta maaf dengan situasi yang melanda pasukan ketika ini. Mungkin semua melihat seseorang ketua jurulatih itu mampu mengubah situasi sesebuah pasukan.

“Namun, semua bergantung kepada keupayaan pemain kerana jurulatih hanya mampu menyumbang 10 hingga 15 peratus kejayaan pasukan,” jelasnya.

Bekas pengendali kelab Indonesia, Persita Tangerang, Alfredo Vera diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Kelantan FC menggantikan Bernhardt.