Wanita dicederakan individu tak dikenali

1024574
1024574
A
A
A

KAJANG - Seorang wanita menempuh detik cemas apabila dicederakan oleh seorang lelaki di tempat letak kereta sebuah kondominium di Cheras pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi di mana mangsa berada berseorangan di dalam kenderaan sebelum didatangi suspek.

"Suspek yang menunggang motosikal mendatangi kereta dan menghampiri cermin tingkap mangsa untuk bertanyakan sesuatu namun mangsa tidak jelas percakapan suspek.

"Suspek kemudiannya cuba membuka seluarnya namun membatalkan hasrat tersebut setelah menyedari mangsa sedang merakam kejadian itu," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, suspek bertindak agresif apabila membaling objek dipercayai batu ke arah cermin tingkap mangsa sebelum cuba merampas telefon bimbit mangsa.

"Suspek juga cuba merampas telefon bimbit mangsa tetapi tidak berjaya.

"Mangsa kemudiannya menjerit dan suspek melarikan diri, mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan kanan," katanya.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan polis.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Rahmad Abdul Aziz di talian 019-3693083.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan," katanya.