X

Kindly register in order to view this article
!

Harga tiket naik sebab kos operasi

Barisan pemain Selangor FC giat berlatih sebagai persiapan menentang KDA FC pada Selasa.
A
A

PENINGKATAN kos operasi menjadi faktor utama menyebabkan harga tiket perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) membabitkan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya naik mendadak.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kos operasi kelab itu telah meningkat kali ini berbanding musim-musim terdahulu susulan pelbagai kemudahan diperlukan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan konsep gelembung sukan.

“Apa yang boleh saya katakan, pertambahan guna tenaga dalam operasi penganjuran perlawanan sekali gus menyaksikan kos operasi meningkat dalam 20 hingga 30 peratus musim ini.

“Kapasiti stadium kini juga sudah berkurangan daripada 25,000 kepada 2,000 penonton yakni 10 peratus lebih rendah daripada kapasiti maksimum, sekali gus mengurangkan pendapatan hasil daripada jualan tiket perlawanan.

“Pada masa sama, kami juga kena pasang infrastruktur baharu di stadium bagi penambahbaikan pendigitalan seperti kelancaran akses internet sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Musim ini, Selangor menjadikan Stadium MBPJ sebagai venue utama mereka bagi menggantikan Stadium Shah Alam yang kini dalam proses baik pulih. Harga tiket sebelum ini dalam lingkungan RM20.

Dalam pada itu, Johan menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyokong tegar The Red Giants yang sentiasa menyokong gergasi Lembah Klang tersebut sejak krisis pandemik Covid-19 tahun lalu.

Johan Kamal
Johan Kamal

“Saya amat berterima kasih kepada penyokong-penyokong setia The Red Giants kerana sentiasa menyokong perjuangan Selangor FC dalam saingan Liga-M khasnya Liga Super dalam tempoh yang sukar akibat impak pandemik Covid-19.

“Sokongan padu penyokong sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini sebenarnya banyak membantu menaikkan motivasi dalam kalangan pemain, apatah lagi selepas penyokong dibenarkan kembali ke stadium dengan pematuhan SOP ketat,” katanya.

Mengulas gesaan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang mahu semua kelab Liga-M menambahbaik SOP di stadium, beliau berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami dengan kerjasama beberapa agensi dan pihak berwajib akan berusaha mengawal aliran keluar masuk penonton di stadium mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan. Harap semuanya berjalan seperti dirancang,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!