Zii Jia buru status nombor satu

Zii Jia bersama Reezal Merican menunjukkan isyarat nombor satu di Putrajaya pada Isnin.
Zii Jia bersama Reezal Merican menunjukkan isyarat nombor satu di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengimpikan status sebagai pemain nombor satu dunia dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Menurut Zii Jia, ada beberapa aspek perlu diperkemas sebelum dia boleh memikirkan tentang gelaran tersebut yang sememangnya didambakan oleh mana-mana pemain.

"Salah satu kelemahan saya yang ketara adalah untuk stabilkan permainan sebab memang ada turun naik yang sangat ketara dan perkara ini sering dibincangkan bersama jurulatih.

"Saya rasa perlukan satu atau dua tahun untuk selesaikan masalah ini dan jadikan permainan lebih stabil. Memang saya harap boleh jadi pemain nombor satu dunia selepas itu," katanya.

Zii Jia berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Menara KBS, Putrajaya pada Isnin.

Turut hadir Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Han serta beregu muda wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.

Bulan lalu, Zii Jia mencipta sensasi apabila muncul juara Seluruh England buat pertama kali dalam kariernya sebelum dia memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia apabila menduduki tangga kelapan.

Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia berada di ranking pertama dunia adalah menerusi legenda, Datuk Lee Chong Wei yang menghuni tangga nombor satu selama 349 minggu termasuk 199 minggu berturut-turut dari 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zii Jia berkata, dia bersedia sekiranya Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) melaksanakan perubahan format kiraan mata daripada 21 kepada 11.

"Kalau tukar (kiraan mata), bermakna kena tukar sistem latihan. Ia juga akan melibatkan perubahan kepada strategi permainan saya yang sudah pastinya akan lebih menjurus kepada permainan menyerang berikutan format mata yang pendek.

"Namun, saya tetap bersedia dengan perubahan itu kerana sebelum ini saya memang mengamalkan corak permainan menyerang ketika beraksi," ujar pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.