Perbadanan Industri Muzik Malaysia bakal ditubuhkan

Saifuddin berucap pada Majlis Pengumuman Penerima Dana Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya di sini hari ini. -Foto Bernama
Saifuddin berucap pada Majlis Pengumuman Penerima Dana Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya di sini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masa depan industri muzik tanah air akan lebih terbela dengan wujudnya Perbadanan Muzik Malaysia yang bakal ditubuhkan kelak.

Inisiatif penubuhan itu kini sedang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bertujuan mentadbir, mengurus hal ehwal perkembangan pembangunan muzik tanah air.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sudah sampai masa Perbadanan Muzik Malaysia ditubuhkan memastikan ekosistem muzik tempatan dapat diperkasakan.

Justeru, katanya, KKMM kini sedang dalam proses menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi tujuan tersebut.

"Tiga sesi libat urus industri telah dianjurkan bersama-sama pihak berkepentingan dan juga pemain serta penggiat seni negara bagi mendapatkan maklum balas mereka berkenaan penubuhan perbadanan muzik.

"MJM akan dibawa ke kabinet dalam masa terdekat. Kami harus mendapatkan punca kuasa dan punca kuasa itu daripada kabinet,"katanya pada Sidang Media Pengumuman Penerima Dana Inisiatif Pemulihan Cendana di bawah Penjana di sini pada Isnin.

Jelas beliau, secara spesifiknya matlamat penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia adalah untuk merakyat, membela, memperkukuh dan memelihara industri Muzik Malaysia.

Antara lain, katanya, adalah bagi memacu industri Muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa dan memelihara Hak Cipta Muzik serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu ia demi memperkasa profesionalisme dalam kalangan penggiat seni industri muzik, merakyat sokongan dan meniup semangat mencintai muzik tempatan, dan memayungi penggiat seni industri muzik negara.

"Beberapa agenda juga disenaraikan dengan perancangan jangka sederhana dan juga jangka panjang termasuk menyediakan tabung kecemasan untuk penyanyi dan pemuzik yang memerlukan," katanya.