PKR sedia hadapi PRU15 bila-bila masa

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia sepenuhnya sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan bila-bila masa.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, ia berikutan kemelut terbaharu yang melanda kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Beliau berkata, ia juga susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu bersedia menarik semula sokongan terhadap PN serta memutuskan hubungan dengan kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jelas satu demi satu, hari demi hari malah jam demi jam kita lihat bagaimana krisis demi krisis melanda kerajaan PN.

"Lebih jelas lagi, bila Presiden UMNO (Ahmad Zahid) berkata, parti itu boleh tarik diri bila-bila masa (daripada menyokong kerajaan PN).

"Adakah stabil kerajaan kalau macam tu," katanya pada sidang akhbar ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada parti itu telah bersedia sekiranya PRU15 diadakan bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, tumpuan kini adalah ingin memperkukuhkan lagi parti.

"Jadi, bagi kami adalah akan terus perkukuhkan parti dan bersedia apa-apa kemungkinan (PRU15)," katanya.