Ajal di puncak bukit

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang penjual burger maut di puncak bukit akibat serangan jantung ketika mendaki bukit Gua Musang, bersama tujuh rakan, petang tadi.

Mangsa, Zulkifli Jusoh, 48, yang dikenali sebagai 'Zul Burger' beralamat di Kampung Pulai, di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBPM) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Anuar Abas berkata, operasi menurunkan mangsa ke bawah mengambil masa tiga jam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama tujuh rakan menaiki bukit terbabit pada jam 5 petang.

No Image Caption

"Bagaimanapun, rakan mangsa memberitahu, apabila tiba di puncak, mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

"Malah, difahamkan mereka sempat merakam foto selepas tiba di puncak bukit," katanya.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 6.21 petang dan 21 anggota digerakkan dalam operasi.

Artikel Berkaitan:

"Selain bomba, kita turut mendapat bantuan daripada 10 anggota polis, seorang pegawai perubatan dan lima penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, pegawai operasi, Penguasa Bomba Kanan (PBK II), Mohd Zawawi Yusoff berkata, operasi berkenaan mengambil masa tiga jam kerana keadaan bukit yang curam.

"Kita berjaya menurunkan mangsa menggunakan ikatan tali howling.

"Kita berdepan kesukaran kerana kecerunan bukit 90 darjah dan jarak perjalanan ke puncak memakan masa hampir satu jam dengan ketinggian melebihi 300 meter.

"Mangsa berjaya diturunkan pada jam 22.48 malam dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk prosedur susulan," katanya.