Semangat MN tidak sama dengan PN

Shahril Sufian ketika ditemui pemberita pada kempen #sambungyangtergendala di sebuah hotel di Sungai Siput pada Sabtu.
Shahril Sufian ketika ditemui pemberita pada kempen #sambungyangtergendala di sebuah hotel di Sungai Siput pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Semangat Muafakat Nasional (MN) yang terjalin kukuh sehingga ke peringkat akar umbi tidak mungkin ada dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, penyatuan PN antara Pas dan Bersatu berlaku secara mendadak dan bukannya dibina daripada peringkat bawah seperti yang dilakukan Pas bersama UMNO.

"Saya optimis tentang MN disebabkan hubungan yang telah terjalin sampai ke bawah. Ia bukan hanya hubungan antara pemimpin semata-mata.

"Ia sudah sampai ke peringkat cawangan dan peringkat kampung pun sudah ada semangat MN yang mana saya rasa dalam PN tak mungkin perkara itu berlaku. Ini kerana (penyatuan PN) berlaku mendadak. Ia tidak dibina satu persatu seperti dibuat dalam MN," katanya ketika ditemui pada kempen #sambungyangtergendala di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Shahril berkata, pihaknya menghormati pendirian Pas yang mahu mempertahankan PN dan memperkukuhkan MN, bagaimanapun UMNO tetap tidak berganjak untuk tidak bekerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Itu pendirian Pas dan saya tidak mahu kritik kerana itu hak mereka untuk buat keputusan itu. Cuma yang menjadi rumit apabila pertandingan tiga penjuru itu berlaku nanti. Siapa yang nak arahkan pengundi atau penyokong untuk memilih. Jadi itu persoalan yang hanya Pas boleh jawab.

"Bagaimanapun, saya ambil tafsiran paling positif. Antara UMNO dan Pas, hubungan itu masih diteruskan. Selagi mana hubungan itu tidak lagi berakhir, selagi itulah kita akan cuba kukuhkan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Shahril Sufian berkata, kempen yang digerakkan UMNO itu membincangkan rangkaan dasar masa depan meliputi jaminan pekerjaan serta cadangan intervensi dasar.

Katanya, kempen itu akan menjelajah ke negeri-negeri bagi membincangkan dasar yang akan dicadangkan; antaranya masalah pengangguran, pendapatan pegun, pertanian, pendigitalan dan pendidikan.