Seorang pegawai polis maut rempuhan di Capitol

Polis Capitol memeriksa kenderaan yang dinaiki penyerang selepas merempuh sekatan keselamatan di North Barricade.
Polis Capitol memeriksa kenderaan yang dinaiki penyerang selepas merempuh sekatan keselamatan di North Barricade.
A
A
A

WASHINGTON - Seorang pegawai polis Capitol Amerika Syarikat (AS) maut dan seorang lagi cedera selepas seorang suspek merempuh sekatan di luar bangunan Capitol pada Jumaat.

Pemangku Ketua Jabatan Polis Capitol AS, Yogananda Pittman mengesahkan mangsa yang terbunuh adalah pegawai veteran daripada Unit Respon Pertama, William 'Billy' Evans.

"Dengan rasa sedih saya menyampaikan berita kematian Pegawai William 'Billy' Evans.

"Mendiang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya semasa serangan di North Barricade," katanya kepada wartawan.

Semasa taklimat media, Pittman turut mengesahkan bahawa suspek utama dalam serangan itu telah ditembak mati.

Sumber penguatkuasaan tempatan dan Persekutuan memberitahu CNN bahawa suspek dikenal pasti sebagai Noah Green, 25, dari Indiana.

Tambah Pittman lagi, siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan dan pihaknya telah menarik balik penutupan Capitol selama sejam selepas tiada lagi ancaman baharu dikenal pasti.

Dalam insiden selepas jam 1 petang (waktu tempatan), penyerang merempuh sekatan polis di North Barricade dan melanggar dua pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

Selepas rempuhan itu, suspek keluar dari kenderaan dan bertindak menikam seorang pegawai polis menggunakan sebilah pisau.

Susulan kejadian itu, Pengawal Kebangsaan telah dikerah ke Capitol sebagai langkah berjaga-jaga.

Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi turut mengarahkan bendera di Capitol dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung.

Insiden itu berlaku kurang daripada tiga bulan selepas rusuhan ganas di Capitol pada 6 Januari lalu yang menyaksikan lima terbunuh termasuk seorang pegawai polis.

Rusuhan ganas itu didalangi penyokong tegar bekas Presiden Donald Trump dalam usaha menghalang Kongres mengesahkan kemenangan Joe Biden dalam pilihan Raya Presiden pada 3 November lalu.

Trump yang didakwa menghasut pemberontakan itu bagaimanapun terselamat daripada pendakwaan selepas pasukan peguamnya dalam hujah pembelaan mereka berkata, dakwaan Demokrat hanyalah retorik semata-mata. - Agensi