Jadual padat bulan puasa

Jadual perlawanan Liga-M berkemungkinan lebih padat sepanjang bulan Ramadan. - Foto FB Selangor FC
Jadual perlawanan Liga-M berkemungkinan lebih padat sepanjang bulan Ramadan. - Foto FB Selangor FC
A
A
A

KESEMUA kelab Liga Malaysia (Liga-M) dijangka mengharungi jadual padat sepanjang Ramadan ekoran perubahan dan penyusunan semula jadual perlawanan melibatkan saingan Liga Super dan Liga Premier yang dijangka diumumkan minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perubahan jadual berkenaan berkemungkinan menyaksikan perlawanan diadakan setiap minggu pada bulan Ramadan tahun ini.

Beliau memberitahu, kemungkinan aksi Liga-M diadakan setiap minggu pada bulan Ramadan juga tidak dapat dielakkan lagi berikutan perubahan dan penyusunan semula jadual berkenaan.

“Perubahan dan penyusunan jadual ini kita akan buat dalam usaha memberikan ‘masa tambahan’ kepada skuad kebangsaan untuk melakukan persiapan rapi bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Jadi sama ada suka atau tidak, perubahan dan penyusunan semula jadual Liga-M kali ini akan melibatkan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Premier sepanjang bulan Ramadan.

“Kami juga sedang merangka penyusunan semula jadual Liga-M ini. Bila semuanya selesai, kami akan maklumkan secara rasmi perubahan jadual itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan

Mengikut jadual asal yang dikeluarkan MFL, aksi Liga Super dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 18 April dan 8 hingga10 Mei manakala perlawanan Liga Premier diadakan dari 16 hingga 18 April; 23 dan 24 April dan 1 hingga 2 Mei sepanjang bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata, penyusunan dan perubahan jadual perlawanan Liga-M itu perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambil kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Disebabkan krisis pandemik Covid-19 yang masih berlarutan sehingga hari ini, kami perlu betul-betul menyusun jadual baharu Liga-M itu bagi mengikut tempoh masa yang ada.

“Jadi kami tidak boleh sebarangan ubah jadual. Kami perlu buat berhati-hati dan teliti kerana persiapan pasukan kebangsaan juga harus diambil kira.

“Tidak lupa juga persiapan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC (TFC) yang bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC,” jelasnya.