Pengangkutan percuma warga emas jalani pemeriksaan kesihatan

Hsiao Leung (dua dari kanan) membantu warga emas menaiki kenderaan ‘Pick-up Emas’ untuk dihantar ke Klinik Kesihatan Bukit Minyak.
Hsiao Leung (dua dari kanan) membantu warga emas menaiki kenderaan ‘Pick-up Emas’ untuk dihantar ke Klinik Kesihatan Bukit Minyak.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perkhidmatan pengangkutan percuma disediakan kepada warga emas bagi membantu golongan itu menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik dan hospital.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, inisiatif itu diperkenalkan agar dapat membantu warga emas di sekitar Bukit Tengah meningkatkan kualiti dan nilai kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhan.

Menurutnya, pendaftaran hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh temu janji klinik atau hospital bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.

“Program ‘Pick-up Emas’ ini dilancarkan Pusat Khidmat Adun Bukit Tengah dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kebun Sireh dan Klinik Kesihatan Bukit Minyak serta Hospital Bukit Mertajam,” katanya selepas melancarkan kenderaaan mobiliti ‘Pick-up Emas’ pada Jumaat.

Hsiao Leung berkata, berdasarkan rekod, terdapat lebih 3,000 warga emas dari Kadun Bukit Tengah mempunyai temu janji di Klinik Kesihatan Bukit Minyak manakala seramai 3,288 warga emas mendapatkan rawatan di Klinik Mata Hospital Bukit Mertajam dalam tempoh sebulan pada tahun lalu.

“Menyedari permasalahan yang berlaku, program ini diperkenalkan bagi membantu warga emas berumur 60 tahun ke atas yang berdepan kekangan seperti tiada kemudahan untuk ke klinik atau hospital, tiada capaian pengangkutan awam di kawasan perumahan atau anak-anak sibuk bekerja,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan ‘Pick-up Emas’ ini mampu menawarkan pengangkutan percuma kepada 200 warga emas sebulan untuk membawa mereka ke Klinik Kesihatan Bukit Minyak untuk pemeriksaan kesihatan susulan.

“Program ini akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum diperluaskan ke Klinik Mata Hospital Bukit Mertajam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hsiao Leung berharap kerajaan negeri dan swasta dapat bekerjasama memperluaskan program ini ke seluruh negeri memandangkan adanya keperluan dalam menawarkan perkhidmatan terbabit kepada warga emas.

“Program ini juga akan menawarkan perkhidmatan membawa warga emas yang sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 apabila fasa kedua program imunisasi bermula pada 19 April nanti,” katanya.