Bersatu, Pas Perak kerjasama bentuk manifesto PRU15

Kenyataan bersama mengenai pembentukan jawatankuasa manifesto bagi Perikatan Nasional (PN) negeri Perak. Gambar dari kiri: Ahmad Faizal, Razman
Kenyataan bersama mengenai pembentukan jawatankuasa manifesto bagi Perikatan Nasional (PN) negeri Perak. Gambar dari kiri: Ahmad Faizal, Razman
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di Perak akan membentuk jawatankuasa manifesto bagi Perikatan Nasional (PN) negeri Perak sebagai tanda kesepakatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara bersama.

Perkara itu dinyatakan Ketua Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua parti telah mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri.

"Tanpa memberi fokus kepada keputusan parti lain, kami bersependapat untuk terus melangkah bersama demi perpaduan, kestabilan politik dan kepentingan agama Islam, bangsa dan negara.

"Pada masa yang sama, kami akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan menubuhkan jawatankuasa bersama dalam persiapan menghadapi pilihan raya," kata mereka.

Kenyataan sama turut menegaskan bahawa, Pas dan Bersatu terus mendokong kerajaan negeri Perak dan menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta seluruh barisan Kabinet.

"Tanpa terlalu berpolitik, kami akan menitikberatkan perkhidmatan kepada rakyat yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Kami berharap, semua pihak dapat memelihara perpaduan yang terjalin dengan menjaga sensitiviti sesama sendiri terutama sekali ketika mengeluarkan pandangan, kenyataan dan ucapan," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, pimpinan Bersatu dan Pas Pusat dalam satu kenyataan bersama menegaskan bahawa kedua-dua parti akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15.

Ia termasuklah menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.