Peguam buta: Kegigihan Hwei Zhen buahkan hasil

Kong Hwei Zhen, 24, (duduk, tengah) diterima masuk sebagai peguam pada prosiding penerimaan masuk di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan Di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto: Bernama
Kong Hwei Zhen, 24, (duduk, tengah) diterima masuk sebagai peguam pada prosiding penerimaan masuk di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan Di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', 'Nak seribu daya, tak nak seribu dalih', pepatah ini dituju bagi menggambarkan keazaman dan kesungguhan seorang gadis muda yang cacat penglihatan memenuhi impiannya menjadi seorang peguam.

Kong Hwei Zhen, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, Jurusan Undang-Undang, University Liverpool, United Kingdom yang mengalami cacat penglihatan sejak kecil kerana masalah 'Glaukoma', bangga dan gembira kerana berjaya menangani cabaran dan kekangan sepanjang enam tahun pengajiannya di negara asing.

Hwei Zhen, 24, yang menamatkan pengajiannya di University Liverpool pada 2016 dan berjaya mendapatkan Sijil Amalan Guaman pada 2017, telah diterima masuk sebagai peguam semasa prosiding penerimaan masuk peguambela dan peguamcara di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan, hari ini.

"Dalam keadaan seperti ini, tidak mudah bagi saya untuk diterima masuk sebagai peguam, saya sangat menghargainya, gembira dan sangat bangga dengan kejayaan ini," kata anak sulung dari tiga beradik itu kepada pemberita selepas prosiding itu.

Memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan dan seterusnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama, Hwei Zhen tidak pernah berfikiran negatif malah sentiasa bersemangat untuk mencapai cita-cita sebagai peguam.

"Saya nak jadi juara dan memperjuangkan hak mereka yang senasib dengan saya, membantu mereka suarakan hasrat mereka khususnya berkaitan dengan kemudahan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)," katanya yang menamatkan pengajian pada tahun 2016 dan pernah menerima anugerah kecemerlangan sepanjang tempoh pengajiannya.

Anak kepada pasangan Kong Siew Foi, 58, (ayah) dan Won Yuen Fong, 57, (ibu) turut menyimpan impian untuk mengendalikan forum bagi membincangkan isu-isu yang sering dikaitkan dengan OKU.

Menceritakan cabaran yang dihadapinya, Hwei Zhen berkata selain sukar mendapatkan bahan bacaan dan rujukan dalam format braille beliau juga perlu mendapatkan lesen 'electronic-copy' (salinan elektronik) daripada penerbit buku untuk menyediakan bahan bacaan dalam bentuk yang mudah digunakan olehnya.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya dua hingga tiga bulan untuk saya dapatkan bahan dalam bentuk electronic-copy, tetapi ada juga penerbit yang enggan untuk beri lesen, itu antara cabaran yang perlu saya hadapi," katanya.

"Bagaimanapun University Liverpool ada menyediakan kemudahan untuk pelajar seperti saya dan ia sangat membantu saya sepanjang tempoh pengajian," katanya.- Bernama