Tempahan mendaki ke Gunung Kinabalu secara dalam talian

Proses tempahan dan bayaran mendaki ke Gunung Kinabalu akan menjadi lebih mudah pada masa depan, berikutan Taman-Taman Sabah (TTS) sedang membangunkan sistem tempahan dan permit secara dalam talian.
Proses tempahan dan bayaran mendaki ke Gunung Kinabalu akan menjadi lebih mudah pada masa depan, berikutan Taman-Taman Sabah (TTS) sedang membangunkan sistem tempahan dan permit secara dalam talian.
A
A
A

KOTA KINABALU - Proses tempahan dan bayaran mendaki ke Gunung Kinabalu akan menjadi lebih mudah pada masa depan, berikutan Taman-Taman Sabah (TTS) sedang membangunkan sistem tempahan dan permit secara dalam talian.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, melalui sistem yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat itu, para pendaki boleh berurusan secara terus tanpa perlu melalui ejen seperti sebelum ini.

"Saya berharap lebih ramai penggemar aktiviti lasak berpeluang membuat tempahan dengan lebih mudah dan peluang mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu akan lebih terbuka dan adil," katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan TTS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam Khamis.

Jafry berkata, sistem tempahan itu sedang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan yang telah diamanahkan TTS dalam usaha meningkatkan perkhidmatan TTS kepada pelancong tempatan mahupun luar negara.

Selain itu kemudahan tempahan secara dalam talian untuk masuk ke kawasan fasiliti di TTS juga akan dijalankan dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Jafry berkata, setakat ini dua syarikat pelancongan telah mendapat kebenaran untuk menjalankan aktiviti gelembung perjalanan bagi membawa pelancong ke kawasan tertentu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Pada majlis itu, Jafry menyampaikan beberapa anugerah kepada kakitangan TTS antaranya Anugerah Khas Pengarah bagi 2019, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 dan 2020, Anugerah Khidmat Setia 35 tahun pada 2020, Anugerah Khas Pengarah bagi 2020 dan Anugerah Pesara 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: