Warga emas rugi RM100,000 diperdaya pelaburan tanam padi

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Tawaran untung lumayan RM52,000 setiap tiga bulan selama tiga tahun menarik minat dua warga emas untuk menyertai pelaburan penanaman padi di Kemboja, hampir tujuh tahun lalu.

Kedua-dua wanita yang mempunyai pertalian saudara (ipar) berusia 75 dan 65 tahun itu masing-masing membeli lot pelaburan berharga RM50,000 dengan harapan pulangan hampir RM500,000 yang dijanjikan.

Namun selepas hampir tujuh tahun menunggu, mereka gagal menerima sebarang bayaran hasil keuntungan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, berasa telah ditipu, kedua-dua mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, pada Khamis.

Menurutnya, kedua-dua mangsa merebut peluang selepas menyertai 'road show' pelaburan penanaman padi di Kemboja yang dianjurkan sebuah syarikat di sebuah hotel, di sini pada Jun 2014.

"Mereka berminat untuk menyertai dengan membeli lot pelaburan dan pembayaran dibuat melalui cek kepada agen pelaburan.

"Pada Ogos tahun sama, mangsa menandatangani surat perjanjian dan dalam surat itu menyatakan jumlah keuntungan yang bakal diterima mereka mengikut tempoh dijanjikan," katanya.

Mohd Wazir berkata, impian mangsa untuk menikmati keuntungan berlipat kali ganda daripada pelaburan mereka lebur apabila tiada sebarang pembayaran diterima selepas perjanjian ditandatangani.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan dibuat mangsa, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa telah diperdaya dengan tawaran peluang pelaburan tidak wujud," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik akaun bank atas nama sebuah syarikat yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan.