Bisnes tidak akan ke mana kalau biadab dengan pelanggan

Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

MINGGU lepas Merak Jalanan sempat bawa keluarga makan di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Kedainya memang ramai orang datang. Hendak masuk ke restoran itu terpaksa beratur panjang kerana ia terkenal dengan hidangan ala Baratnya.

Kalau nak diikutkan restoran itu memang ternama. Pemiliknya sering mempromosikan hidangan terbaharunya di Facebook dan Instagram.

Namun, terdapat satu insiden yang menyebabkan Merak Jalanan tidak jadi makan di situ.

Hendak dijadikan cerita, selepas melihat menu Merak Jalanan memesan hidangan seperti yang dipromosikan tempoh hari, namun diberitahu menu tersebut sudah habis.

Merak Jalanan cuba bertanya tentang menu-menu lain namun pekerja warga asing di situ seolah-olah tidak faham dengan apa yang ditanya.

Pekerja yang tidak faham itu kemudian memanggil pemilik restoran berkenaan.

Begitupun, belum habis Merak Jalanan bertanya, pemilik restoran itu dengan angkuh berkata, ‘Dalam menu tu kan semua dah ditulis, tak payah tanya’.

Artikel Berkaitan:

Tergamam Merak Jalanan seketika.Tanpa banyak soal, Merak Jalanan terus bangun keluar dari restoran tersebut.

Apa yang Merak Jalanan dapat belajar ialah senyuman yang diukir oleh pemilik restoran itu di laman sosial tidak menggambarkan sikap sebenarnya ketika berhadapan dengan pelanggan. Merak Jalanan percaya perkara sebegitu juga pernah berlaku terhadap pelanggan lain.

Sesebuah restoran itu tidak akan mampu bertahan lama jika pemiliknya bersikap biadab dan tidak pandai menghormati dan mengambil hati pelanggan.

Nasihat Merak Jalanan kepada peniaga, jagalah tutur kata kerana pelanggan adalah aset perniagaan, tiada pelanggan maka bungkuslah perniagaaan anda!