EAIC tidak terlibat siasatan 34 pegawai 'dibela' Nicky Liow

Mohd Sidek
Mohd Sidek
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak mengambil bahagian dalam siasatan terhadap 34 pegawai penguat kuasa yang didakwa 'dibela' Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, siasatan berhubung perkara itu memadai dilakukan polis.

"Mereka (polis) mempunyai akses yang lebih luas antaranya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Sedekad Penubuhan EAIC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Khamis.

Bagaimanapun menurutnya, EAIC akan memantau siasatan sehingga ia diselesaikan

"Kami juga akan mencadangkan syor-syor dan pandangan kepada PDRM jika perlu," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Nicky, 33, yang berada dalam buruan lolos daripada serbuan Operasi Pelican 3.0 berikutan berlaku kebocoran maklumat.

Nicky yang juga suspek utama dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat Polis Kontinjen Johor pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai, anggota polis dan agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya.

Seorang bekas timbalan pendakwa raya juga dipercayai berada dalam kawalan lelaki itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sidek dalam ucapannya sebelum itu berkata, agensi berkenaan kini mengambil pendekatan untuk tidak lagi menjalankan siasatan terhadap aduan bersifat 'frivolous or vexatious in nature', remeh atau menyusahkan.

"Kita tidak boleh dan tidak mampu untuk memberi penekanan yang sama kepada semua kes. Kalau berbuat demikian, kita ibarat hanya melepas batuk di tangga," katanya.

Tambahnya, aduan remeh perlu ditangani oleh jabatan dan agensi itu sendiri.

"Lebih baik EAIC menggunakan sumber yang terhad untuk isu-isu yang penting, mempunyai merit dan memberi kesan yang besar," katanya.

EAIC kini mengawal selia 21 buah agensi penguatkuasaan membabitkan polis Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melibatkan 210,000 pegawai serta kakitangan.

Kerjasama erat pintar itu dilihat semakin berkesan dalam menangani isu integriti dalam kalangan penguat kuasa.