KPLB bantu usahawan luar bandar

Abd Latiff menandatangani plak selepas merasmikan Gudang DesaMall@KPLB dan DesaMall@ONTHEGO di Shah Alam pada Selasa.
Abd Latiff menandatangani plak selepas merasmikan Gudang DesaMall@KPLB dan DesaMall@ONTHEGO di Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meluaskan lagi pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar bagi meningkatkan pendapatan mereka menerusi program DesaMall@KPLB.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, DesaMall@KPLB adalah inisiatif KPLB untuk membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-dagang.

Beliau berkata, selari dengan norma baharu, KPLB memulakan perluasan program itu dengan mengadakan kerjasama strategik menerusi syarikat pentadbir eLokal Sdn Bhd (eLokal).

“Kolaboratif itu untuk mempromosi dan memacu penerimaan e-dagang sekali gus membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

“Bagi meluaskan lagi pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar, program DesaMall@KPLB melalui syarikat pentadbir DesaMall@KPLB kini mewujudkan gudang di Bukit Jelutong, Shah Alam.

“Gudang ini disewa daripada syarikat Gig Technology Holdings Sdn Bhd dan dijadikan hab pengumpulan dan penyimpanan stok produk-produk usahawan luar bandar yang menyertai program DesaMall@KPLB.

“Ia juga sebagai hab pengedaran produk-produk tersebut ke outlet-outlet DesaMall@KPLB dan juga kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gudang DesaMall@KPLB dan Trak DesaMall@OnTheGo di Bukit Jelutong di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Ahli Lembaga Pengarah Mara Corporation, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pegawai Eksekutif eLokal, Ahmad Shah Wahid.

Abd Latiff (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Ahmad Shah (tiga dari kiri) dan wakil Gig Technology di Shah Alam pada Selasa.
Abd Latiff (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Ahmad Shah (tiga dari kiri) dan wakil Gig Technology di Shah Alam pada Selasa.

Jualan terkumpul RM1.93 juta

Abd Latiff berkata, syarikat eLokal juga menyewa sebuah lori daripada pihak FELCRA Bekalan dan Perkhidmatan yang digunakan untuk tujuan promosi termasuk penyertaan dalam program-program outreach keusahawanan.

Menurut Abd Latiff, sebelum ini KPLB hanya bekerjasama dengan satu platform e-dagang iaitu PrestoMall semasa program DesaMall@KPLB diperkenalkan pada Oktober 2017.

“KPLB kemudian memasarkan produk usahawan DesaMall@KPLB dalam beberapa platform e-dagang lain seperti Lazada, Shopee dan eBay pada Jun 2018 bagi meningkatkan jualan.

“Sehingga kini, terdapat 2,000 usahawan luar bandar yang telah memanfaatkan program DesaMall@KPLB sebagai sebuah platform untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara dalam talian,” kata beliau.

Menurutnya, jumlah jualan terkumpul sehingga 28 Februari lalu ialah RM1.93 juta dan mempunyai 2,233 produk serta 23,981 unit simpanan stok (SKU) dipasarkan di semua platform e-dagang disertai DesaMall@KPLB.

“Justeru, KPLB akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi membolehkan pelbagai kerjasama strategik dirangka pada masa hadapan seterusnya memberikan manfaat kepada rakyat.

“Keutamaan kerajaan masa kini ialah membuka banyak peluang dalam bidang keusahawanan online dan mewujudkan peluang pekerjaan serta pasaran baharu untuk membantu rakyat menghadapi cabaran pascapandemik Covid-19,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, pelbagai inisiatif juga sedang dirangka oleh kerajaan bagi membantu rakyat terutama masyarakat luar bandar dalam mengharungi situasi ekonomi yang semakin mencabar.