Kawalan ketat sempadan elak dalang Geng Nicky lolos: KPN

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa termasuk di kawasan sempadan negara diletakkan dalam keadaan siap siaga susulan kemungkinan dalang Geng Nicky yang terlibat dalam sindiket jenayah terancang, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee akan melarikan diri ke negara lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah meletakkan Nicky Liow dalam senarai individu dikehendaki.

"Apabila nama dia (Nicky Liow) itu dalam senarai dikehendaki, pihak berkuasa di jalan keluar dekat kawasan sempadan, jeti, pelabuhan dan lapangan terbang akan dimaklumkan mengenai situasi berbangkit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengasas Winner Dynasty Group berusia 33 tahun itu kali terakhir dilihat di Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 Mac lalu.

Dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan lanjut masih giat dilakukan bagi mengesan ketua kumpulan Geng Nicky itu yang disyaki terbabit aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram.

Sinar Harian melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan yang bakal dilaksanakan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan Soon Hee melarikan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada pegawai bocor maklumat, 'lindungi' Nicky Liow: KPN

Dalang Geng Nicky lari bawa lapan beg berisi duit

Artikel Berkaitan:

Sindiket jenayah terancang Geng Nicky lumpuh

Seramai 118 individu diperiksa dan 68 ditahan manakala wang tunai lebih RM770,000 dirampas dalam 70 Ops Pelican 3.0 di sekitar Lembah Klang dari 20 hingga 28 Mac lalu,

Dalam sidang akhbar berkenaan, Abdul Hamid mendedahkan Geng Nicky disyaki mempunyai hubungan dengan elemen jenayah terancang antarabangsa, Wan Kouk Koi atau dikenali sebagai Broken Tooth.

Katanya, semakan mendapati Broken Tooth sudah disenarai hitam oleh pihak US Treasury kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram pada 9 Disember tahun lalu.