Sri Lanka tidak akan tunduk kepada tekanan resolusi UNHRC

Gotabaya Rajapaksa. Foto Reuters
Gotabaya Rajapaksa. Foto Reuters
A
A
A

COLOMBO - Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa pada Isnin berkata, negaranya tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan sebagai tindak balas terhadap resolusi dikemukakan beberapa negara barat yang diluluskan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) minggu lalu.

Sri Lanka akan menghadapi cabaran itu tanpa rasa gentar dan sama sekali tidak akan akur kepada tekanan, katanya dalam satu kenyataan lapor Agensi Berita Xinhua.

Beliau berkata, Sri Lanka sudah mempunyai strategi pembangunan termasuk projek mesra alam seperti menyediakan tenaga elektrik kepada semua isi rumah sambil meningkatkan ekonomi negara.

Desakan pihak luar dan tempatan yang menentang kemajuan negara akan memesongkan pemikiran orang ramai, katanya.

"Sekiranya anda menyerah pada pembohongan itu, kerosakan itu tidak dapat dipulihkan lagi," tegas beliau.

Resolusi UNHRC mahu Sri Lanka bertanggungjawab atas insiden konflik awam selama 30 tahun antara pasukan tentera kerajaan dan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang ditewaskan tentera pada Mei 2009.

Resolusi itu diluluskan UNHRC dengan 22 negara menyokong, 11 menentang, dan 14 berkecuali. - Bernama

Artikel Berkaitan: