Hadiah SSPN-i untuk bayi baru lahir di DUN Panching

Nurul Hidayah (dua dari kiri) menerima replika pembukaan akaun SSPN-i yang ditaja Mohd Tarmizi (dua dari kanan) pada Pelancaran SSPN-i DUN Panching kepada ibu bersalin di Kampung Permatang Badak, pada Selasa.
Nurul Hidayah (dua dari kiri) menerima replika pembukaan akaun SSPN-i yang ditaja Mohd Tarmizi (dua dari kanan) pada Pelancaran SSPN-i DUN Panching kepada ibu bersalin di Kampung Permatang Badak, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Bayi baru lahir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching bakal menikmati faedah pembukaan akaun percuma melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebagai persediaan tabungan pendidikan awal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, inisiatif itu dibuat bagi memupuk kesedaran tabiat menabung dalam kalangan ibu muda.

"Kita baru lancarkan tajaan ini (buka tabung SSPN-i) kepada bayi baharu lahir di kawasan DUN Panching pada hari ini (Selasa).

"Jadi, jika kelahiran baharu di DUN Panching mereka boleh memaklumkan kepada kita bagi tujuan ziarah dan pembukaan akaun SSPN-i," katanya ketika ditemui selepas Pelancaran SSPN-i DUN Panching kepada ibu bersalin di Kampung Permatang Badak, pada Selasa.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Pahang, Sapiza Abdullah.

Mohd Tarmizi berkata, bagi tujuan itu Pejabat DUN Panching bekerjasama dengan PTPTN Pahang bagi memudahkan proses pembukaan akaun kepada bayi yang baharu dilahirkan.

Tambahnya, langkah itu bagi menggalakkan generasi muda memiliki anak ramai di samping menyokong mereka merancang kewangan bagi persediaan tabung pendidikan.

“Kita yakin pendekatan ini mampu memberi kesedaran kepada ibu-ibu muda mengenai keperluan dan kepentingan membuka akaun SSPN-i sejak daripada anak lahir bukannya bila anak sudah besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Nurul Hidayah Mohd Azmi, 28, dia bersyukur mendapat sumbangan kelahiran berbentuk saguhati dan tajaan pembukaan akaun SSPN-i.

Katanya, sebanyak RM100 diperuntukkan ke dalam akaun anaknya pada setiap bulan.

"Saya gembira YB kawasan (Mohd Tarmizi) membantu memudahkan cara bagi membuka akuan simpanan untuk anak saya," katanya.

Sementara itu, Sapiza berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai menyimpan dari awal kelahiran untuk tujuan pendidikan.

"Bila anak-anak sudah masuk universiti nanti, tidak perlu membuat pinjaman PTPTN, sebab itu perlu membuat simpanan seawal mungkin," katanya.

Pembukaan akaun SSPN-i serendah RM20 merupakan instrumen simpanan tabungan kepada anak-anak sejak lahir dan boleh dimohon secara dalam talian.