Bukan kali pertama LTM taja PDRM

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan Lembaga Totalisator Malaysia (LTM) sebelum ini meluluskan lebih daripada sekali lawatan sambil belajar polis ke luar negara.

Menurutnya, sebelum lawatan sambil belajar yang melibatkan pegawai kanan termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki yang dikatakan ditaja syarikat loteri, Da Ma Cai, sebanyak tiga lawatan kerja pegawai kanan polis ke luar negara pernah diluluskan oleh Lembaga Pengarah LTM.

“Iaitu pada 12 hingga 17 Jun 2012 berjumlah RM69,763 (diluluskan pada 27 Mac 2012), 10 hingga 14 Jun 2013 berjumlah RM95,040 (diluluskan pada 20 Mac 2013), dan 1 hingga 6 Mei 2014 berjumlah RM128,400 (diluluskan pada 11 Februari 2014).

“Permohonan lawatan kerja pada 23 November 2017 dengan jumlah RM184,648 iaitu sebelum saya dilantik menjadi Menteri Kewangan dan semasa Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki masih lagi memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kerajaan lama yang dipimpin mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, rekod itu jelas membuktikan kesemua lawatan diluluskan semasa pentadbiran BN dan Najib ketika masih Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tajaan ke Turki: Nak percaya siapa?

Kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab dakwaan daripada Asyraf Wajdi bahawa beliau membenarkan sebuah syarikat judi membiayai lawatan kerja pegawai kanan PDRM ke Istanbul, Turki, selain Guan Eng didakwa tidak sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, tuduhan Dr Asyraf Wajdi itu tidak benar dan tidak berasas.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak tahu langsung tentang sumbangan dan tajaan lawatan kerja pegawai kanan PDRM yang diberikan oleh LTM kerana ia diputuskan oleh Lembaga Pengarah badan tersebut.

“LTM adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961 [Akta 494]. Oleh kerana sebarang keputusan oleh Lembaga Pengarah LTM tidak perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan, maka tajaan membiayai lawatan kerja pegawai kanan PDRM ke Turki tidak pernah dimaklumkan atau diluluskan oleh saya sebagai Menteri Kewangan,” katanya.