Pas harap kerjasama tiga parti di Perak diteruskan

Mohd Akmal Kamarudin ketika berucap merasmikan Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seminar Pematuhan Syarat EIA pada Selasa.
Mohd Akmal Kamarudin ketika berucap merasmikan Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seminar Pematuhan Syarat EIA pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pas Perak menaruh harapan tinggi agar kerjasama antara tiga parti Melayu bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk kerajaan negeri ketika ini diteruskan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, jalinan kerjasama antara tiga parti itu telah membentuk suasana harmoni di negeri ini bukan sahaja di peringkat pentadbiran, malah kepimpinan akar umbi.

"Apa yang saya lihat kerjasama tiga parti dalam mentadbir Perak ini sangat erat sehinggalah ahli majlis dan jawatankuasa kampung juga hubungannya berjalan dengan baik dan harmoni.

"Sebab itu, harapan besar kita supaya kerjasama yang berlaku hari ini dikekalkan sehinggalah selepas PRU15. Saya yakin ia bukan harapan besar Pas sahaja, tetapi daripada rakyat juga yang mahu melihat parti-parti besar Melayu Islam bekerjasama dan bersatu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Menurutnya, dalam konteks kerajaan Perak, pendirian UMNO sepertimana disuarakan dalam perhimpunan agung yang berakhir Ahad lepas tidak akan menjejaskan hubungan kerjasama antara tiga parti itu.

"Sama ada itu pendirian parti atau hanya cadangan daripada perwakilan, itu kita tidak pasti tetapi ia tidak jejaskan hubungan baik yang kita bina di peringkat negeri," katanya.

Perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu dan menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata, buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRU15 akan datang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, adalah tidak sesuai untuk menyatakan perkara itu terutama selepas UMNO memuktamadkan pendirian mereka.

"Mana-mana parti pun dah kenal pasti kerusi mana mereka nak tanding, jika tanya kepada Pas, kita juga sudah ada jumlah kerusi berkenaan, cuma kita akan maklum kemudian.

"Baru lepas perhimpunan (UMNO), tak kan lah tiba-tiba kita nak umumkan, biar ambil masa dahulu," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan akan bertanding di semua 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu serta dua kerusi yang kini diwakili Bersatu iaitu di Sungai Manik dan Tualang Sekah.

Pada PRU14 lalu, Pas menang di tiga kerusi DUN iaitu Gunung Semanggol, Selama dan Kubu Gajah.

Mohd Akmal yang menang di Selama dan Razman Zakaria di Gunung Semanggol telah dilantik membarisi anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak bersama tiga wakil Bersatu dan lima wakil rakyat daripada UMNO.

Sebelum itu, Mohd Akmal yang juga Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau hadir merasmikan Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seminar Pematuhan Syarat EIA sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak di sini pada Selasa.