Dalam politik segalanya mungkin

Gambar dari kiri: Ahmad Zahid, Muhyiddin Yassin
Gambar dari kiri: Ahmad Zahid, Muhyiddin Yassin
A
A
A

SEMUA orang bercakap hubungan UMNO-Bersatu ibarat ‘putus sudah kasih sayang’.

Tetapi hakikat yang sebenarnya ialah dalam politik, kita tidak boleh diskaun sebarang kemungkinan.

Apa saja boleh berlaku dalam politik.

Barang diingat, sebaik sahaja Perdana Menteri menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan keputusannya membubarkan Parlimen, kita mempunyai tempoh maksimum dua bulan untuk mengadakan pilihan raya.

Itulah tempoh waktu atau ruang yang sebenarnya di mana perjanjian atau jajaran baru politik akan berlaku.

Boleh jadi pada akhirnya yang duduk berunding di meja rundingan ialah UMNO dan Bersatu, bukannya Pas. Semua ini boleh berlaku dan tidak mustahil berlaku.

Sehingga saat itu tiba, apa juga langkah, silat atau kekecohan bolehlah dianggap bersifat acah atau sekadar menguji populariti.

Orang politik suka test market untuk melihat sejauh mana populariti mereka.

Artikel Berkaitan:

Mereka suka dikelilingi penyokong.

Sebab itulah mereka sukar untuk pencen. Kerana mereka ketagihan dikelilingi penyokong dan tukang sorak. Itu menghidupkan mereka.

Lihat saja Tun Dr Mahathir Mohamad. Mana boleh pencen dan duduk diam. Ada sahaja isu yang hendak dibangkitkannya.

Memerhati Perhimpunan Agung UMNO dari kejauhan, entah apa yang membungkam di hati beliau, Tuhan sahaja yang tahu.

Mungkin beliau berasa terasing dan kesunyian.

Yang kelihatan meriah, gagah dan hero buat masa ini ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Sang Presiden UMNO.

Tidak syak lagi beliau muncul sebagai hero UMNO sepanjang Perhimpunan Agung yang baru selesai pada Ahad.

Setiap bait kata-katanya mendapat sambutan dan tepukan gemuruh daripada perwakilan terutama pada bab beliau tibai beberapa pemimpin politik dalam partinya sendiri.

Memang nampak jelas yang beliau menguasai gelanggang dan pentas hinggakan orang seperti Datuk Seri Shahidan Kassim yang baru hendak panaskan rostrum terus kena ‘booo’.

Tak sampai tiga minit kemudian Shahidan turun pentas, tak sanggup nak teruskan ucapan lagi.

Tiada siapa dapat menafikan yang Dewan Merdeka dikuasai oleh penyokong-penyokong Zahid Hamidi.

Tetapi di luar belum tentu Zahid sepopular di dalam Dewan Merdeka.

Juga, belum tahu sama ada beliau akan kekal sebagai presiden atau mengepalai UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Di antara sekarang hingga menjelangnya hari mengundi nanti, macam-macam boleh jadi.

Ada yang mengatakan, pada saat popularitinya di kalangan perwakilan UMNO masih hangat, beliau tidak akan melepaskan mereka yang beliau sendiri labelkan sebagai pengkhianat parti.

Maknanya, mereka yang menjadi sasaran akan senasib seperti Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail yang digantung enam tahun sebagai ahli.

Pendek cakap, Shahidan dan Tan Sri Annuar Musa harus awas, silap langkah dan silap tutur selepas ini, mereka mungkin sebahagian daripada sasaran tersebut.

Namun Zahid juga jangan ingat selamat. Mungkin ada gerakan untuk menyingkirkan beliau sebagai presiden. Bukan semua bahagian menyokong beliau.

Dalam pada itu, kecoh juga pada Isnin, kesemua menteri dan timbalan menteri daripada UMNO pergi bertemu Tan Sri Perdana Menteri di pejabatnya.

Katanya, untuk membincangkan soal peletakan jawatan sepertimana yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO.

Jangan ingat jika kesemua mereka terpaksa melepaskan jawatan Kabinet kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus tumbang.

Ia tidak semudah itu. Ini kerana, disebabkan negara masih di bawah Darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh sahaja meminta Muhyiddin meneruskan tugas-tugas sebagai Perdana Menteri interim.

Dan kerajaannya pula sebagai kerajaan interim.

Dalam situasi itu juga, Parlimen tidak perlu bersidang.

Jadi buatlah apa pun kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin akan terus kekal berkuasa sehinggalah tiba masanya yang beliau fikir sesuai untuk dibubarkan.

Itulah yang dinamakan politik − seni memungkinkan apa saja - selagi ia sah di sisi undang-undang dan perlembagaan.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian