X

Kindly register in order to view this article
!

Bot karam: Tiga nelayan Vietnam ditemui selamat

Tiga nelayan Vietnam yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam berhampiran Pulau Nam Du ditemukan selamat pada petang Ahad.
A
A

PASIR PUTEH - Tiga nelayan Vietnam yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam berhampiran Pulau Nam Du di sini ditemui selamat pada petang Ahad.

Mangsa, Tee Lee Van Chong yang merupakan tekong dan dua lagi kru, Cau Van Wang serta Nguyen Hau Binh berjaya diselamatkan oleh kapal pelantar Express 93.

Kesemua mangsa yang berusia 20 hingga 47 tahun itu ditemukan oleh kru kapal berkenaan di kawasan sempadan perairan antarabangsa.

Sejurus berjaya diselamatkan, ketiga-tiga nelayan itu kemudian diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

"Kita akan membuka kertas siasatan dan merekodkan setiap maklumat diberikan kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan. Ia bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sekiranya tiada isu berbangkit, kesemua empat mangsa akan diserahkan kepada pihak Kedutaan Vietnam di Malaysia untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, berpandukan kepada maklumat awal, tekong mereka keluar ke laut pada 11 Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya, bot yang dinaiki oleh kumpulan nelayan itu telah dipukul ribut sehingga terbalik pada 27 Mac lalu.

"Mangsa pertama yang berjaya diselamatkan oleh kapal berkenaan merupakan salah seorang kru bot yang sama hasil pengecaman wajah.

"Berdasarkan kenyataan tekong, hanya seorang lagi kawan mereka masih lagi dikhuatiri hilang," katanya.

Sinar Online pada Sabtu melaporkan seorang nelayan Vietnam ditemui terapung pada jarak 107.2 batu nautika dari muara Tok Bali di sini selepas bot yang dinaikinya dipercayai karam.

Mangsa yang dikenali sebagai Le Hoang Em, 41, ditemui tanpa pakaian oleh sebuah kapal Express 93 dalam keadaan sedar dan berpaut pada pelampung.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!