MyMAP atasi penggunaan brek motosikal tidak berkualiti

Mohd Sharulnizam (kiri), Suret Singh dan Khairil Anwar ketika pelancaran MyMAP di Kajang pada Isnin.
Mohd Sharulnizam (kiri), Suret Singh dan Khairil Anwar ketika pelancaran MyMAP di Kajang pada Isnin.
A
A
A

KAJANG - Penggunaan brek motosikal tidak berkualiti dan tiruan dapat diatasi menerusi program penilaian motosikal atau dikenali sebagai Malaysia Motorcycle Assessment Program (MyMAP).

Program berkenaan dibangunkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Pengerusi MIROS, Datuk Suret Singh berkata, pihaknya mendapati terdapat syarikat industri motosikal belum bersedia untuk mengintegrasikan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) kepada motosikal yang berkapasiti rendah.

Menurutnya, teknologi ABS berfungsi sebagai menyelaraskan tekanan brek ketika kecemasan bagi menghalang penguncian roda dan membantu mengekalkan kestabilan motosikal selain mengurangkan jarak semasa brek.

“Jadi, kita mahu supaya semua motosikal yang dijual di pasaran dilengkapi dengan sistem ABS bagi keselamatan penunggang dan pembonceng. Dalam keadaan kecemasan, ia sangat penting.

“Kita dapat pelbagai brek yang kualiti terlalu rendah. Ada juga produk tiruan yang dijual di pasaran. Jadi kami sangat prihatin dan jalankan MyMAP untuk pastikan mereka mendapat keselamatan dengan brek yang berkualiti.

“Selain itu, MyMAP juga ingin meningkatkan piawaian seperti tayar, lampu alat kawalan kelajuan dan kegunaan bahan pemantul cahaya pada rangka casis motosikal,” katanya semasa pelancaran MyMAP di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Teknologi MARii, Mohd Sharulnizam Sarip.

Artikel Berkaitan:

Pada program itu, Mforce Bike Holdings iaitu pengedar motosikal model SYM VF3I 185 telah dianugerahkan lima bintang kerana berjaya mengorak langkah mendahului pengeluar lain dalam merealisasikan pengaplikasian teknologi terkini secara bersepadu.

Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS, Ir Ts Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, penarafan bintang tertakluk kepada empat kriteria utama iaitu pematuhan terhadap piawaian United Nations Econimic Commission for Europe (UNECE).

Beliau berkata, kriteria seterusnya ialah kesesuaian pengeluaran, teknologi ciri keselamatan dan juga program sokongan keselamatan pengguna.

“Dalam fasa pertama ini, penekanan diberikan terhadap motosikal berkapasiti rendah kurang daripada 250cc kerana ia mendominasi lebih daripada 90 peratus pasaran,” katanya.