X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

'Keputusan peletakan jawatan menteri perlu dibuat secara kolektif'

Wee Ka Siong
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang keputusan berkenaan peletakan jawatan menteri susulan penarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan yang belum ditetapkan tarikhnya perlu dibuat secara kolektif antara parti-parti komponen, menurut Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, MCA sentiasa mendukung Barisan Nasional (BN) sejak penubuhan parti Perikatan dan keputusan untuk menyertai kerajaan pada tahun lalu juga dibuat secara kolektif.

"Apa juga tindakan yang kami (BN) lakukan kita bermusyawarah, berbincang.

"Saya tidak mahu membuat sebarang ramalan apa yang akan berlaku kerana ia berunsur spekulatif sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Callie Mask di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau bersedia meletakkan jawatan sebagai menteri susulan penarikan sokongan UMNO daripada kerajaan.

Pada Ahad, usul memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipersetujui sebulat suara perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Perhimpunan berkenaan juga bersetuju menyerahkan mandat kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi parti itu untuk menentukan jeda waktu bagi menarik diri daripada kerajaan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan Tengku Razaleigh Hamzah supaya pemimpin yang dilantik oleh kerajaan PN sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, menarik diri tidak dibincangkan di perhimpunan itu, sebaliknya akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!