ADUN Bukit Tunggal dilepas tanpa bebas

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini pada Isnin melepas tanpa membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, 62, daripada tuduhan gagal menyerah simpan Penyata Tahunan Syarikat 2018.

Majistret Norina Maludin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya Alias dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pegawai Pendakwa SSM Kelana Jaya, Amir Sharifuddin Hashim sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak akan meneruskan kes terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.

"Terdapat perkembangan baharu dalam kes ini iaitu Syarikat Kelana Jaya Medical Centre Sdn Bhd sudah menjelaskan bayaran kompaun atas syarikat yang dikenakan RM5,000 pada Ahad.

"Disebabkan kesalahan berkenaan adalah kesalahan syarikat, kami bersetuju untuk tidak meneruskan kes pendakwaan terhadap pengarah syarikat tersebut," katanya.

Sebelum ini, pada 17 Februari lepas, Alias yang merupakan Pengarah Kelana Jaya Medical Centre Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 68 (1) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) kerana gagal menyerah simpan penyata tahunan syarikat pada 2018.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Bagaimanapun, peguam Alias, Saifuddin Othman memohon penangguhan kes dengan memaklumkan kepada mahkamah ketidakhadiran anak guamnya kerana perlu menghadiri mesyuarat mingguan kerajaan negeri yang diadakan setiap Rabu.

Artikel Berkaitan: